Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dr M: Pemimpin tolak tawaran Muhyiddin boleh selamatkan negara, Melayu

Dr Mahathir Mohamad berkata hanya pemimpin yang berani menolak tawaran Muhyiddin Yassin, sanggup digugurkan dari parti "secara tidak sah" dan sanggup hilang peruntukan untuk kawasan masing-masing boleh menyelamatkan negara dan bangsa Melayu.

Kata bekas perdana menteri itu, hal sedemikian berlaku ketika penyokong Muhyiddin bergerak ke sana-sini untuk menawarkan jawatan dan wang bagi meraih sokongan buat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dakwa ahli parlimen Langkawi itu, sesiapa yang menolak tawaran berkenaan akan diugut dan didera.

"Saya ucapkan syabas kepada mereka yang berani menolak tawaran Muhyiddin dan sanggup digugurkan dari parti (secara tidak sah) dan kehilangan pelbagai peruntukan untuk kawasan.

"Orang seperti ini sahaja yang boleh selamatkan negara dan orang Melayu," katanya melalui hantaran terbaru di blog beliau petang ini.

Mahathir dan Muhyiddin adalah dua bekas pemimpin kanan Umno yang diketepikan daripada parti itu ekoran skandal 1MDB kesan daripada kelantangan mereka terhadap kepemimpinan Najib Razak.

Kedua-dua mereka kemudian menubuhkan Bersatu sebagai wadah politik bagi menghadapi Umno-BN dalam pilihan raya umum (PRU). Bersama Pakatan Harapan, Bersatu memperoleh mandat untuk menjadi kerajaan pada 9 Mei 2018.

Gabungan BN pula ditolak oleh rakyat dalam PRU ke-14 lalu.

Pemimpin yang diharapkan rakyat

Bagaimanapun Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan PH lalu membentuk kerjasama dengan Umno-BN serta PAS. Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula memberikan sokongan kepada PN.

Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri.

Keadaan itu menyaksikan PN menjadi kerajaan yang dibina tanpa mendapat mandat daripada rakyat dan dikritik sebagai kerajaan pintu belakang.

Langkah Sheraton juga menyaksikan Bersatu terbahagi kepada dua kumpulan dengan masing-masing menyokong Muhyiddin dan Mahathir.

Kata Mahathir apabila Malaysia memilih sistem demokrasi untuk pentadbirannya, harapan rakyat ialah kerajaan negara ini terdiri daripada pemimpin yang dipilih oleh orang ramai.

"Inilah yang berlaku dalam PRU ke-14 apabila kerajaan kleptokrasi dijatuhkan dan parti-parti yang menentang kleptokrasi diangkat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan Malaysia.

"Tetapi sekarang kita dapati parti yang ditolak oleh rakyat berjaya merampas kuasa dan mendirikan kerajaan," katanya.

Menurut Mahathir parti yang ditolak rakyat itu berjaya menakut-nakutkan sebahagian ahli politik PH - khususnya Bersatu - dengan mendakwa kononnya gabungan itu dikuasai oleh DAP.

Justeru kata Mahathir pihak terbabit memainkan sentimen menakut-nakutkan orang Melayu kononnya DAP akan menghancurkan Melayu, justeru kerajaan negara hendaklah terdiri daripada Melayu Islam saja.

Pada masa sama, kata Mahathir, Muhyiddin melihat keadaan itu sebagai peluang untuknya menjadi perdana menteri.

Tak rasa terhutang budi

Sesetengah pemimpin lain dalam Bersatu pula, tambah beliau, melihat mereka berpeluang menjadi menteri, timbalan menteri atau mendapat jawatan lain jika PH dijatuhkan.

"Hari ini kita tahu untuk mendapat sokongan, Muhyiddin menawarkan jawatan kepada mereka yang lebih mengutamakan perolehan untuk diri sendiri berbanding perjuangan.

"Mereka ini sanggup lupa akan sebab mereka dipilih oleh rakyat. Mereka tidak pun berasa terhutang budi kepada rakyat. Yang mereka nampak ialah peluang dan upah daripada tawaran Muhyiddin.

"Untuk ini mereka sanggup bekerjasama dan mendukung kleptokrat yang kononnya mereka benci dahulu," katanya.

Dakwa Mahathir hampir semua anggota kerajaan Muhyiddin terdiri daripada pemimpin yang mengutamakan jawatan dan upah lumayan dan pada masa sama melupakan perjuangan untuk menghapuskan kleptokrat.

"Jika Melayu hendak dihancurkan, kerajaan keptokrat seperti inilah yang akan menghancur mereka. Betapa tidak. Kehendak rakyat mudah digugurkan dan kerajaan pemimpin mereka mudah memungkiri janji, utamakan kepentingan diri, mudah terpengaruh jawatan dan upah, yang kebanyakannya tidak mempunyai kelayakan selain dari menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Kerajaan seperti inilah yang akan merosakkan dan menghancurkan negara serta orang Melayu," katanya.