Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ali Hamsa 'terkejut' pegawai JAN rakam mesyuarat, dakwa tak etika

Bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa bahawa dia terkejut apabila mengetahui bahawa seorang pegawai Jabatan Audit Negara telah membuat rakaman pertemuan yang bertujuan untuk membincangkan perubahan yang akan dibuat dalam laporan audit jabatan itu mengenai 1MDB.

Ali berkata demikian semasa diperiksa balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan meminda laporan audit 1MDB oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Dia ditanya mengenai tindakan pegawai JAN Nor Salwani Muhammad yang meletakkan alat rakaman dalam kotak pensel rakannya untuk dibawa ke mesyuarat pada 24 Februari 2016 yang kini menjadi bukti utama dalam kes tersebut.

Shafee: Adakah kamu terkejut seorang pegawai junior merakamkan mesyuarat itu?

Ali: Saya terkejut.

Shafee: Adakah ini tidak beretika?

Ali: Semua orang di dalam bilik tidak tahu ada alat rakaman ketika itu, jadi ini tidak beretika

Nor Salwani, dalam keterangannya sebelum ini, berkata bahawa dia membuat rakaman mesyuarat itu kerana diminta untuk mengambil minit mesyuarat untuk JAN tetapi tidak dibenarkan masuk.

Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang juga pada keterangannya sebelum ini telah memaklumkan bahawa dia membawa semua 12 anggota pasukan audit 1MDB ke mesyuarat bersama dengan Ali dan pegawai lain tetapi hanya seorang pegawai JAN yang dibenarkan bersamanya pada mesyuarat itu.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Ali berkata bahawa arahan untuk tidak membenarkan pegawai JAN yang lain dalam mesyuarat berkenaan bukan datang daripadanya.

Bagaimanapun, Ali berkata, bahawa dia tidak pasti jika pegawainya membuat arahan sedemikian. Tambahnya, bahawa bilik mesyuarat di pejabatnya di Putrajaya adalah kecil.

Shafee kemudian menuoal sama ada terdapat aduan dari JAN pada hari berkenaan yang menurut Ali tidak ada.

Ali berkata, dia boleh mempertimbangkan untuk menambah bilangan kerusi jika ada permintaan untuk menempatkan semua anggota pasukan JAN pada mesyuarat itu tetapi tidak ada permintaan seperti itu dibuat.

[Baca laporan penuh]