PH dan tulang yang terlekat di tekak
KATA MP | Politik negara telah sampai kepada satu tahap antiklimaks dengan tertegaknya kerajaan tanpa mandat rakyat. Setelah berhempas pulas kekuatan reformasi dan selamatkan negara menerjah badai politik, kemenangan PH dikhianati oleh rakannya sendiri.
Langkah ke hadapan perlu diteruskan kerana terbukti niat parti pemerintah hari ini di bawah PN tidak jelas dalam konteks pelan pemulihan negara.
Yang jelas ialah PN hanya bertenggek atas kuasa yang jadi bahan untuk berkompromi sesama mereka bukan atas manifesto yang cuba dilaksanakan sesama mereka.
Jika PN diteruskan berkuasa, negara kerugian masa dan tenaga menerima implikasi politik komoditi kuasa ini!
Parti yang jelas mendambakan sebuah harapan untuk negara memenangi PRU ke-14 dengan mandat.
Walaupun ada kelemahan tetapi kompromi sesama kuasa parti-parti PH adalah atas landasan mahu mencapai matlamatnya yang jelas untuk memulihkan negara.
Wawasan Kemakmuran Bersama, Rahmatan Lil Alamin dan segala polisi melawan korupsi dan salah guna kuasa punya hala tuju yang terang dan nyata.
PH juga harus bermuhasabah atas satu isu yang selalu 'terlekat di tekak' (mengkelan- bahasa utara) menyebabkan gangguan kelancaran perjalanan niat murninya.
Seperti tulang yang menghalang dan menyakitkan, kita diheret soal pelan galas ganti kepimpinan sejak mandat diberikan kepada PH.
Pelan galas ganti kepimpinan bukanlah datang tanpa sebab. Perjalanan panjang arus reformasi menyebabkan PH secara jujur cuba menangani permasalahan ini sebagai syarat untuk berkongsi kuasa dengan rakan-rakannya.
Sebab itu, ia menjadi 'tulang yang tersekat' dan 'mengkelan' senantiasa menggugat jalan menghadam untuk keselesaan.
Malangnya sebahagian rakan tidak membantu malah terus menyekat laluan maka berlakulah apa yang berlaku.
Sama ada hari ini tulang itu boleh dilegakan dengan 'laluan' yang cuba dibaiki sejak bulan Februari 2020 atau tidak, rakyat dan pengundi PH mengharapkan yang terbaik.
Apapun perkiraannya Mandat Rakyat perlu dipulihkan sebeberapa segera supaya PN tidak berterusan meneruskan politik komoditi kuasa atas risiko tinggi yang terpaksa dibayar oleh rakyat!
DR MUJAHID YUSOF ialah naib presiden Amanah merangkap ahli parlimen Parit Buntar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai