Kadar pengangguran negara pada April melonjak 5 peratus
Kadar pengangguran Malaysia untuk April tahun ini melonjak kepada lima peratus, mengatasi kadar purata tahunan untuk tempoh 30 tahun terakhir.
Berdasarkan laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia untuk April 2020 yang diterbitkan hari ini, kadar pengangguran negara melonjak kepada 5.0 peratus dan jumlah penduduk yang tiada pekerjaan meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778,800 orang.
Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin, berkata penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April lalu memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja berasa sukar untuk mendapatkan pekerjaan.
Katanya kajian menunjukkan jumlah penduduk negara yang memiliki pekerjaan menurun 156,400 orang menjadi 14.93 juta pada April berbanding setahun lalu.
Penurunan itu adalah sebanyak 299,000 pekerja berbanding ada 15.23 juta orang bekerja pada Mac.
"Penduduk bekerja yang paling terjejas ialah di sektor pembuatan dan perkhidmatan iaitu penginapan, makanan dan minuman; kesenian, hiburan dan rekreasi; serta perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Uzir menambah berdasarkan kaji selidik sama, penduduk bekerja sendiri adalah seramai 2.59 juta orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga atau pengusaha kecil-kecilan (pasar tani/pasar malam/ katering/gerai/pekerja bebas) pekebun kecil, pengusaha pelancongan termasuk pengusaha aktiviti umrah dan ziarah dan lain-lain.
"Kumpulan pekerja ini terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan PKP.
"Berdasarkan survei ini, PKP telah memberi kesan kepada 4.87 juta penduduk bekerja yang tidak bekerja pada April 2020," katanya.
Bagaimanapun, menurut Mohd Uzir, kumpulan itu tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka akan kembali semula bekerja.
Unjuran itu, katanya, kemungkinan akan kekal apabila statistik untuk Mei dibentangkan.
“Secara keseluruhannya, semua sektor ekonomi terkesan sepanjang tempoh PKP Fasa 2 dan Fasa 3 yang berlaku pada April 2020, terutamanya perkhidmatan tidak penting.
"Pasaran buruh Malaysia pada Mei 2020 dijangka akan terus terjejas berikutan PKP Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mei 2020 kerana perniagaan masih belum beroperasi sepenuhnya.
"Dalam tempoh ini, syarikat akan cenderung mengecilkan saiz pekerja mereka untuk meringankan beban kos operasi walaupun telah diramalkan pengurangan dalam pendapatan perniagaan mereka," katanya.
Mohd Uzir juga berkata PKP Pemulihan (PKPP) bermula pada 10 Jun lalu menyaksikan pengaktifan semula perniagaan untuk lebih banyak sektor dan perjalanan antara negeri dibenarkan.
"Pelaksanaan ini dijangka akan memacu perniagaan dan mendorong peningkatan pasaran kerja, terutama dalam industri berkaitan pelancongan," katanya.
Kali terakhir Malaysia merekodkan kadar pengangguran tahunan 5 peratus atau lebih tinggi ialah pada 1990.
Untuk rekod kadar pengangguran lima peratus ini hanya untuk April tetapi ia akan mempengaruhi kadar purata akhir. Kadar pengangguran pada Mac berada pada tahap 3.9 peratus.
Kadar pengangguran tahunan untuk 2019 berada pada tahap 3.4 peratus.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai