PH perlu kerja bersama untuk negara, bukan diri sendiri - Maria
Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa Pakatan Harapan (PH) bekerjasama sebagai satu pasukan demi negara dan bukannya kepentingan peribadi.
Beliau berkata PH perlu menumpukan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk mengenai rancangan kerajaan memulihkan ekonomi.
"Ini adalah masa yang tepat bagi PH untuk bekerjasama untuk negara dan membuat rancangan pemulihan ekonomi untuk maju ke hadapan.
"Kita harus saling menyokong dan berusaha untuk kebaikan negara ini dan bukan untuk diri sendiri," katanya kepada Malaysiakini.
Beliau berkata demikian mengulas pergeseran mengenai calon perdana menteri daripada pembangkang yang terdiri daripada PH, kem Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan.
PN mengambil alih kuasa daripada kerajaan PH pada Mac lalu.
Sejak itu, kerajaan baru yang diketuai Muhyiddin Yassin berdepan tugas sukar dalam menangani wabak Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi negara.
Minggu lalu kerajaan melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan anggaran kos RM35 bilion, termasuk RM9 bilion yang dikhaskan untuk menangani pengangguran dan pengekalan pekerjaan.
Bagaimanapun, kerajaan menerima kritikan kerana tidak membentangkan tiga pakej rangsangan ekonomi sebelum ini untuk dibahaskan di parlimen.
Maria berkata, timbul persoalan mengenai di mana kerajaan mendapatkan wang untuk membiayai Penjana.
"Sejak mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang, terjadi sejumlah pelanggaran hak asasi manusia, seperti memaksa aktivis dan ahli politik untuk disiasat polis atas kenyataan yang dibuat, melantik anggota parlimen sebagai CEO atau pengerusi GLC.
"Mereka seharusnya berani mengadakan sesi parlimen untuk membincangkan belanjawan, dasar-dasar mengenai Covid-19, rancangan pemulihan ekonomi dan banyak lagi masalah penting," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai