Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KP Kesihatan nafi seorang kanak-kanak positif Covid-19 di Kedah

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyangkal satu hantaran tular di Facebook yang mendakwa seorang kanak-kanak di Kedah dijangkiti Covid-19 dari seorang saudara yang pulang dari Negeri Sembilan.

"Apa yang dikongsi di Facebook itu tidak benar.

"Kita tidak ada kes yang dilaporkan tetapi kita secara aktif melakukan pemeriksaan saringan," kata Noor Hisham dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, jabatan kesihatan negeri Kedah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu yang didakwa berlaku di Kampung Huma, Padang Hang.

Dikatakan jabatan itu telah melakukan ujian swab terhadap kontak rapat yang terdiri daripada keluarga dan saudara-mara kanak-kanak itu.

Mereka semua kini dikuarantin di rumah sehingga keputusan ujian diperoleh.

Kenyataan itu juga menyebut mengenai satu kes positif Covid-19 pada 13 Jun melibatkan seorang pelajar tahfiz dari Negeri Sembilan yang menziarahi neneknya di Alor Janggus, Alor Setar.

Pelajar itu kini ditempatkan di wad isolasi di hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Bagi mereka yang dikuarantin di rumah, Noor Hisham menasihati mereka memaklumkan kementerian kesihatan sekiranya jatuh sakit atau menunjukkan gejala tertentu.

"Dalam tempoh 14 hari kuarantin, jika mereka menunjukkan simptom, mereka boleh menghubungi kami dan kami akan melakukan ujian, tidak perlu menghubungi kami pada hari ke-13," katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa walaupun negara kini berada dalam fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kerajaan akan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di daerah-daerah tertentu sekiranya terdapat wabak berkenaan.

"Walaupun kita sedang dalam PKP pemulihan, jika ada kluster atau wabak, kita akan melaksanakan PKPD di daerah itu," katanya.

Beliau menambah sempadan negara masih diperketatkan walaupun PKPD bertujuan membendung wabak Covid-19 di kalangan penduduk tempatan.

Sementara itu, mengenai larangan merokok, Noor Hisham berkata kementerian kesihatan tidak pernah mengurangi pemantauan terhadap mereka yang melanggar peraturan di premis tertentu di mana merokok tidak dibenarkan.

"Kami tidak pernah mengurangkan pemantauan untuk memastikan perokok mematuhi peraturan.

"Apa yang kementerian perlukan adalah kerjasama dari orang ramai dan juga pemilik restoran untuk memastikan bahawa pelanggan mereka tidak merokok di restoran," katanya.