Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Akhramsyah: Reformasi bergantung pada PH, bukan Anwar sebagai PM

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Akhramsyah Sanusi berkata agenda reformasi yang mahu dilaksanakan PKR bergantung kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan dan bukan bergantung kepada Anwar Ibrahim.

"Anwar dan sekutunya harus tumpu bukan kepada Anwar sendiri menjadi perdana menteri kerana reformasi tidak bergantung kepada perkara ini.

"Ia bergantung kepada PH kembali berkuasa. Oleh itu, fokus haruslah mengembalikan kuasa kepada PH, walaupun ini bermaksud Mahathir (Mohamad) adalah calon yang lebih baik untuk memastikannya," katanya kepada Malaysiakini.

PH bersama kumpulan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan Warisan kini sedang berusaha untuk mengambil alih semula kuasa daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun isu mengenai siapa antara Mahathir dan Anwar yang harus menjadi perdana menteri masih menemui jalan buntu.

Akhramsyah berkata, di bawah kerajaan PH, Mahathir telah melaksanakan beberapa agenda reformasi ketika menjadi Perdana Menteri.

Ini, katanya, termasuk "langkah tidak popular" membersihkan Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain sehingga menyaksikan pemberian dividen lebih rendah bagi mengukuhkan tadbir urus korporat syarikat berkenaan.

"Beberapa pembaharuan bahkan tidak popular tetapi perlu dan diteruskan oleh Mahathir, dipandu oleh kepimpinan PH dalam kabinet dan tanpa kehadiran Anwar.

"Agenda 'Reformasi', di mana ia dilihat baik untuk negara, secara umum telah digunapakai oleh PH di bawah Mahathir dan beliau nekad untuk meneruskannya," katanya.

Akhramsyah berkata, Anwar adalah satu-satunya individu yang akan menjadi "pewaris" Mahathir dan sepatutnya berada dalam keadaan selesa.

 

Katanya, bekas perdana menteri itu juga telah membuktikan keikhlasannya dengan mengundurkan diri ketika dipaksa kumpulan Muhyiddin Yassin agar memungkiri janji terhadap peralihan kuasa.

"Sekiranya Anwar lupa bahawa perjuangan reformasi lebih besar daripada mana-mana pemimpin pun, bahkan dirinya sendiri, dia mungkin tidak akan mengejar matlamat untuk menjadi perdana menteri, lebih buruk dia mungkin tidak akan melihat reformasi tercapai di negara kita pada masa hidupnya," tambah beliau.

PH Plus sedang menyelesaikan masalah calon perdana menteri dan keputusan mengenainya dijangka diketahui pada Selasa depan.

Semalam, satu mesyuarat diadakan di Sri Hartamas tetapi tiada butiran mengenainya.