Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rashid: NGO Penggerak Komuniti Negara sokong k'jaan pusat, Johor

Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Johor sentiasa menyokong aspirasi kepimpinan kerajaan sama ada di peringkat negeri atau pusat, sekali gus berusaha memperkasakan rakyat, kata Pengerusinya Mohd Rashid Hasnon.

Beliau berkata sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), misi dan visi PKN adalah untuk memperkasakan komuniti serta rakyat.

“Kami berbangga dengan kejayaan PKN Kedah apabila seramai 35 orang telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ia merupakan satu pengiktirafan buat PKN.

“Kami juga berharap dan insya-Allah sekiranya diberi tanggungjawab yang sama, PKN Johor akan membantu memperkasakan dan mengukuhkan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Batu Pahat, di Batu Pahat, hari ini.

Mohd Rashid yang merupakan ahli parlimen Batu Pahat turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada beberapa persatuan, NGO dan mangsa banjir kilat di kawasan parlimen itu yang berlaku minggu lepas.

Dalam pada itu, Mohd Rashid berkata PKN Johor menerima banyak permintaan kemasukan keahlian dan seramai 26,471 ahli sudah mengesahkan pendaftaran masing-masing, setakat ini.

Beliau berkata PKN Johor juga sudah selesai mengesahkan 25 orang pengerusi PKN di setiap kawasan Parlimen di negeri ini manakala baki seorang lagi pengerusi masih dalam pertimbangan.

“Jadi, ahli PKN ini bukan hanya yang keluar (parti) khususnya daripada PKR tetapi daripada seluruh rakyat.

"Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, kami boleh menerima pelbagai lapisan masyarakat kerana matlamat kami jelas untuk membantu memakmurkan negeri dan negara,” katanya.

- Bernama