‘Kosongnya Kaabah seperti hati saya’ - Bakal jemaah haji
Setelah dua tahun merayu, pada Februari lalu Rosli Ibrahim, 56 melonjak kegembiraan apabila terpilih menjadi jemaah haji tahun ini.
Bagaimanapun, perasaan girang Rosli yang tidak sabar-sabar untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu tiba-tiba bertukar hiba.
“Pertama kali saya berasa sebak sehingga tidak tahu nak ungkap macam mana,” katanya.
Rosli (gambar, bawah bersama isterinya) yang dijadual berangkat Julai ini, bagaimanapun terpaksa menangguhkan hasratnya susulan wabak Covid-19 yang melanda dunia.
Kerajaan pada 11 Jun lalu memutuskan ibadat haji tahun ini ditangguh ke tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zukifli Mohamad berkata ketetapan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagi jemaah haji Amienurul Faidzad Mohd Amin, 45 pula, dia berasakan hatinya kosong setelah mendapat tahu tidak dapat menyambut Aidil Adha di Makkah.
“Kosongnya Kaabah seperti hati saya sekarang ini,” katanya yang merupakan seorang peniaga.
Meskipun telah berjaya menghabiskan 13 minggu kursus haji, dia pasrah dan menggangap keputusan kerajaan itu adalah demi kepentingan rakyat Malaysia.
“Keputusan yang dibuat itu juga untuk keselamatan kita, Insya-Allah ada hikmahnya,” kata Amienurul (gambar, bawah, kiri) yang pertama kali ingin menunaikan haji.
Untuk rekod, ibadat haji merupakan salah satu kewajipan buat umat Islam yang berkemampuan. Ziarah yang dilakukan di Makkah dan Madinah itu selalunya bermula pada 8 hingga 12 hari bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam takwim Islam.
Bermula 20 Mac lalu, pihak berkuasa Arab Saudi melarang jemaah berhimpun atau solat di kawasan dataran Masjidil Haram di Makkah dan Madinah susulan wabak Covid-19 yang melanda negara itu.
Malah, urusan mengerjakan haji dan umrah - yang menarik berjuta-juta pelancong dari seluruh dunia - juga ditangguhkan.
‘Tunda haji boleh buat agensi gulung tikar’
Sementara itu, mutawif Dr Ridzwan Bakar pula menjelaskan bahawa keputusan penangguhan ibadat Haji itu memberi kesan yang mendalam di kalangan agensi.
“[...] Kami juga khuatir banyak agensi haji dan umrah akan gulung tikar akibat penangan Covid-19 ini,” katanya yang juga merupakan seorang mutawif (ketua rombongan ibadat haji dan umrah).
Ridzwan yang juga merupakan penasihat Al Haramain Global - salah satu pengendali agensi haji dan umrah- berkata bahawa pelbagai persiapan awal telah dibuat sekiranya ibadat haji dibenarkan pada tahun ini.
“Ini termasuk persediaan ilmu dan praktikal kepada semua bakal jemaah haji, urusan logistik haji, komunikasi dengan pihak Kedutaan (Arab Saudi), lembaga Tabung Haji dan wakil kami di Makkah dan Madinah.
“Kami mengambil langkah ke hadapan dengan berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan jaminan keselamatan jemaah Malaysia dari jangkitan Covid-19.
“Proses dan prosedur keselamatan telah kami siapkan termasuk memastikan jemaah bersiap untuk dua atau tiga hari kursus intensif haji norma baru sebelum mereka berangkat ke tanah suci. Proses saringan awal keselamatan di buat dari Malaysia lagi,” kata Ridzwan (gambar, bawah).
Bagaimanapun, syarikatnya yang sepatutnya membawa seramai 200 jemaah haji itu yakin keputusan kerajaan tepat susulan keadaan penularan wabak Covid-19 yang tidak menentu.
“Dalam aspek ini, pandangan pakar perubatan perlu diambil kira sebelum ijtihad (pakar ulama) atau keputusan di ambil untuk kesejahteraan semua rakyat.
“[...] Di Arab Saudi, kes Covid-19 telah melonjak naik selepas kelonggaran perintah berkurung di buat pada 31 Mei lalu. Pada 12 Jun sahaja, Arab Saudi merekodkan sebanyak 3921 kes baru. Angka ini dijangka meningkat hari-hari mendatang.
“Ini memberi indikasi yang jelas bahawa, keselamatan jemaah haji tidak dapat dijamin oleh Arab Saudi jika Haji dibenarkan pada tahun ini,” katanya lagi.
Selain itu, Pengasas Ash-Har Travel and Tour Ahmed Shukri Ab Rahman (gambar, atas) turut menjelaskan bahawa pihaknya terkilan kerana telah membuat pelbagai persiapan.
“Saya sendiri terkilan sebab 30 tahun saya kendalikan, tidak pernah sehingga tidak dapat ke Mekah, inikan lagi perasaan jemaah lain.
"Pengurusan penginapan juga saya dah lakukan seawal tahun lepas, risau juga dengan masalah kewangan syarikat tetapi kita terpaksa akur dengan keputusan kerajaan. Ini yang terbaik,” katanya yang juga seorang mutawif.
Selain itu, Syukri juga berkata pihaknya akan berbincang dengan Kedutaan Arab Saudi berkenaan pembayaran yang dilakukan tahun ini.
"Ada juga yang minta pembayaran kembali , kami di pihak agensi tengah berbincang dengan wakil di Mekah Madinah dan Kedutaan (Arab Saudi) supaya dapat uruskan pihak yang ingin wang mereka kembali ,” katanya lagi.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai