Dua pemimpin Wanita S'gor dilihat pro-Azmin isytihar setia pada PKR
Sejumlah pemimpin Wanita PKR Selangor, termasuk kalangan mereka yang dilihat sebagai penyokong bekas timbalan presiden Azmin Ali, berkata mereka akan terus setia dengan perjuangan parti itu.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama susulan pengumuman Dr Daroyah Alwi, yang merupakan ketua Wanita Selangor dan timbalan ketua Wanita pusat, untuk keluar daripada PKR.
Antara mereka yang dilihat sebagai penyokong Azmin yang menandatangani kenyataan itu ialah Timbalan Ketua Wanita Selangor Sangetha Jayakumar dan Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.
Bagaimanapun Adun Lembah Jaya Haniza Talha, juga merupakan penyokong Azmin dan kini digantung daripada jawatan ketua Wanita pusat, tiada dalam senarai penandatangan kenyataan tersebut.
“Wanita PKR Selangor akan terus mara sebagai satu sayap bagi mendepani semua isu wanita dan mengangkat martabatnya selaras dengan semangat yang sama sejak era reformasi.
“Pemimpin datang dan pergi namun matlamat tidak akan pernah goyang malah pimpinan sedia ada mempunyai kualiti dan kepimpinan yang teguh untuk terus memacu sayap ini kehadapan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim dan Amiruddin Shari di peringkat pusat dan juga negeri,” kata mereka.
Turut menandatangani kenyataan itu ialah Adun Batu Tiga Rodziah Ismail - yang tewas di tangan Daroyah untuk jawatan timbalan ketua Wanita dalam pemilihan lalu - dan Adun Permatang Rozana Zainal Abidin.
Selain itu, turut disertakan dalam kenyataan itu adalah 18 ketua Wanita cabang negeri tetapi nama mereka tidak disertakan.
Daroyah membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di Shah Alam tengah hari tadi.
"Saya bernombor ahli B1800073914 dengan ini ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai timbalan ketua Wanita PKR pusat, serta keluar dari parti berkuat kuasa hari ini," katanya yang juga Adun Sementa, yang menurutnya telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden Anwar Ibrahim.
Kedudukannya dalam PKR dilihat sedikit tergugat apabila Azmin bersama kemnya bertindak keluar parti pada Februari lalu untuk menyertai Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Wanita PKR Selangor berkata mereka telah menjangkakan tindakan Daroyah.
“Keputusan itu sudah pun dijangka lebih awal dan kami bersiap sedia untuk meneruskan agenda reformasi seterusnya mempertahankan kerajaan Selangor
"Kami ADUN Wanita PKR Selangor dan Majlis Pimpinan Wanita negeri termasuk 18 Ketua Wanita Cabang di Selangor berikrar untuk terus kekal setia bersama PKR," kata mereka.
Daroyah juga kini ahli NGO Nation of Women, yang ditubuhkan Haniza.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai