Malaysia perlu kerjasama Thailand sekat pelarian Rohingya
Malaysia perlu memperkukuhkan kerjasama dengan kerajaan Thailand bagi menyekat kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini, kata penganalisis Kajian Strategik dan Keselamatan Negara Mizan Mohammad Aslam.
Kata Mizan, sebelum memasuki Malaysia, pelarian Rohingya menyorok di sebalik pulau di perairan Thailand seperti Pulau Ko Adang yang tidak jauh dari Langkawi.
"Persoalannya, kenapa Thailand tak halang? Kenapa mereka bagi masuk perairan Thailand, adalakah mereka ini dilindungi?
"Kerajaan Malaysia khususnya Wisma Putra perlu membuat aduan dan bantahan kepada kerajaan Thailand. Usaha menyekat pelarian ini akan gagal jika tiada kerjasama dengan kerajaan Thailand," katanya kepada Malaysiakini.
Dua hari lalu, kerajaan menegaskan untuk tidak lagi menerima pelarian Rohingya dari Bangladesh yang menceroboh masuk ke negara ini.
Sebaliknya, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, pelarian berkenaan akan dihantar pulang ke Bangladesh.
Beliau berkata sehubungan itu kerajaan akan berbincang dengan negara terlibat untuk urusan penghantaran pulang.
"Jadi di sini kerajaan menegaskan tidak lagi menerima pelarian-pelarian ini dan kami akan berbincang dengan negara terlibat untuk urusan penghantaran pulang.
"Kerajaan lebih selesa jika negara-negara ini dapat menerima pelarian Rohingya dari Malaysia," katanya.
Ismail sebelum ini juga berkata kerajaan akan berbincang dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) dan kerajaan Bangladesh menerusi Kementerian Luar untuk menempatkan pelarian Rohingya di negara ketiga.
Sementara itu Mizan berkata, selain pulau Ko Adong, pelarian Rohingya juga boleh menggunakan Tarutao National Park, Thailand untuk masuk ke negara ini.
Katanya, mereka boleh menggunakan kapal kecil untuk masuk ke perairan negara bagi mengaburi pihak berkuasa.
Tambahnya, kini pelarian menggunakan taktik baru dengan merosakkan kapal mereka supaya dapat mendarat di perairan negara ini.
"Bila kapal bocor dan enjin rosak di perairan Malaysia, nak tak nak kita kena tolong. Nak tolak semula ke laut mereka semua akan mati.
"Tak ditolong kasihan, akhirnya kita selamatkan mereka. Akhirnya kita terpaksa bela mereka dengan kos yang sangat besar.
"Setahun puluhan juta kita belanja untuk pelarian saja, kos pusat tahanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai