Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah tolak saman lucut hak RM100,000 dari Yayasan PBAKM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pelucuthakan kerajaan terhadap Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) berhubung wang RM100,000 yang didakwa daripada 1MDB.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menyampaikan keputusan itu ketika prosiding hari ini.

Dalam penghakiman lisan ringkas, Jamil berkata pemohon gagal membuktikan sebarang atau sebahagian daripada wang tersebut masih dalam akaun responden.

Katanya, pelbagai transaksi melibatkan keluar masuk wang dalam akaun responden telah berlaku sejak wang RM100,000 itu dimasukkan pada 22 Oktober 2013.

Beliau merujuk cek RM100,000 yang diberikan bekas perdana menteri Najib Razak kepada Yayasan PBAKM pada masa itu.

Jamil mengambil maklum bahawa ketika pendengaran sebelum ini, Yayasan PBAKM tidak pernah menafikan ada menerima cek RM100,000 daripada Najib.

Katanya, responden berkata pelbagai transaksi keluar masuk akaunnya telah berlaku sejak itu.

"Akaun bank responden menunjukkan wang dari sumber lain," katanya, sambil menambah pemohon gagal menunjukkan sebahagian wang dalam akaun tersebut yang datang daripada Najib.

Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim mewakili pendakwaan manakala Yayasan PBAKM diwakili peguam Julita Ilhani Abdul Jabbar dan Mohamed Azahari Matiasin.

Sementara itu, Jamil menetapkan 21 dan 27 Julai ini untuk mendengar saman pelucuthakan kerajaan terhadap Umno Johor dan Umno Selangor.

Kerajaan memohon untuk merampas RM677,872.55 dan RM2.7 yang didakwa daripada 1MDB, masing-masing daripada Umno Johor dan Umno Selangor.

Tarikh itu ditetapkan selepas tiada pihak ketiga yang membuat tuntutan dalam saman tersebut.

Umno Johor dan Umno Selangor masing-masing diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin dan R Hanita.

Pada 21 Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman pelucuthakan bernilai RM270 juta terhadap 41 pertubuhan dan orang perseorangan.