Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiada perubahan dasar penetapan harga jualan runcit petrol, diesel

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius laporan media berhubung pembatalan warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

KPDNHEP ingin menegaskan bahawa tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel, seperti yang dilaporkan.

Penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui ‘Automatic Pricing Mechanism’ (APM) yang dipengaruhi oleh harga minyak yang diproses (refined products) selari dengan harga minyak mentah dunia.


BACA BERKAITAN: ‘Tak, tak, tak, tak’

Tiada lagi harga maksimum untuk RON95, diesel?


Sejak 30 Mac 2017, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Walaubagaimanapun, mulai 29 Februari 2020, KPDNHEP telah menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Perubahan mekanisme ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa.

Dalam menjamin kepentingan pengguna, KPDNHEP komited memastikan pematuhan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak terhadap harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Mengambil kira trend semasa harga minyak mentah dunia, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.


ALEXANDER NANTA LINGGI ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, merangkap Ahli Parlimen Kapit.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.