Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis siasat ketua penerangan Armada, pembantu Syed Saddiq

Polis sedang menyiasat Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada), Ulya Aqamah Husamuddin mengenai hantaran di Facebooknya yang didakwa memfitnah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan itu menyusuli laporan polis yang dibuat oleh SPRM mengenai perkara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed secara ringkas memberitahu media bahawa polis telah memulakan siasatan.

"Kami menerima laporan daripada SPRM terhadap anggota Armada dan kami sedang menyiasat perkara itu," kata Huzir.

Ulyaa (gambar, bawah) pada hantaran di Facebook mendakwa bahawa penahanan exco Armada tersebut bertujuan 'mendiamkan' anggota parti yang sebelum ini mempersoalkan pucuk pimpinan parti.

"Armada berharap pihak SPRM akan melaksanakan siasatan yang adil dan telus terhadap pimpinan Armada tanpa berat sebelah.

"Armada percaya penahanan ini satu bentuk tekanan untuk mendiamkan ahli Armada yang sebelum ini bersuara dan berbeza pandangan dengan pimpinan atasan parti," katanya.

Ulya terdahulu membuat hantaran di Facebook mendakwa bahawa anggota yang ditahan itu telah 'mendedahkan' rakaman audio bahawa presiden parti merangkap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin “memikat” anggota parlimen Umno dengan jawatan menteri atau jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menyertai Bersatu.

Pembantu Syed Saddiq dakwa diugut

Muhyiddin juga adalah presiden Bersatu, parti yang sedang dilanda masalah dalaman susulan pergelutan kuasa di antaranya dengan pengerusi parti yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, SPRM menyoal siasat Ulya berhubung siasatannya mengenai kehilangan wang dari rumah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata polis juga melancarkan siasatan terhadap pembantu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed, Siti Nurul Hidayah Shaziman (gambar, bawah).

Ini susulan SPRM telah membuat laporan terhadap Siti Nurul berhubung dakwaan pegawai SPRM telah mengugut, mengherdik dan memaksa pembantu Syed Saddiq itu untuk beri keterangan.

Siti Nurul membuat dakwaan itu dalam sebuah video yang disiarkan di sebuah portal tempatan.

Dia juga salah seorang saksi dalam siasatan kes yang sama.

Huzir berkata kedua-dua siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah.

Sementara itu, polis telah menyelesaikan siasatan terhadap bekas menteri air, tanah dan sumber asli Xavier Jayakumar.

Huzir berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya.

Bulan lalu, Jayakumar disiasat polis berhubung satu klip video pendek didakwa memaparkan beliau mengatakan bahawa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini adalah "tidak berfaedah" dan "mengarut."

Sebanyak 33 laporan polis dibuat terhadap ahli parlimen Kuala Langat itu berhubung dakwaan ulasannya itu.

Jayakumar disiasat mengikut Akta Hasutan.

[Baca berita asal]