MB pesan agar perantau Kelantan patuh SOP
Kerajaan Kelantan mengingatkan perantau yang kini dibenarkan merentas negeri untuk yang pulang ke kampung halaman mulai hari ini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi mencegah menularan wabak Covid-19.
Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata pihaknya menjangkakan ramai perantau yang bakal pulang ke kampung untuk bertemu keluarga masing-masing, selepas rentas negeri dibenarkan mulai hari ini.
"Saya mengingatkan mereka yang pulang supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerana bila dibenarkan rentas negeri, bukan bermakna kita boleh bergerak bebas.
"Yang penting sebarang majlis kenduri atau rumah terbuka tetap tidak dibenarkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di kediaman rasminya, JKR10, Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 10 Jun ini hingga 31 Ogos.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan,seramai 887 pelajar Kelantan dari Mesir yang pulang ke tanah air pada 3 Jun lalu dijangka tiba di negeri itu, malam ini.
"Kesemua mereka menjalani kuarantin terlebih dahulu di Kuala Lumpur dan hasil keputusan adalah negatif. Memandangkan PKPB sudah tamat, maka kesemua mereka akan menyambung tempoh kuarantin di rumah masing-masing.
"Kerajaan negeri menyediakan 12 bas untuk membawa pulang kesemua pelajar berkenaan dan mereka dijangka tiba malam ini," katanya.
Selain itu Ahmad yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Pasir Pekan menjelaskan, kebenaran solat Jumaat dikekalkan dengan jumlah 40 jemaah sehingga SOP baru diumumkan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri, esok.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Zulkifli Mohamad dijangka mengumumkan SOP solat Jumaat dan fardhu mengikut keluasan masjid. Kita tunggu dulu pengumuman itu.
"Tempoh operasi premis di negeri ini akan diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa kerja keselamatan negeri (JKKN) khas pada Isnin depan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai