Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Naib Presiden PAS beri markah A untuk Muhyiddin

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini menganggap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin serta pasukan kabinetnya boleh diberi markah yang tinggi.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah semasa melontarkan pandanganya berkata, perdana menteri berjaya memimpin kerajaan persekutuan dengan baik terutama ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19.

"Secara umumnya mengikut pandangan peribadi saya, memuaskan.

"Beliau berjaya menangani isu-isu yang diluar jangka, dan menunjukkan kebolehan sebagai perdana menteri.

"Beliau ada pasukan yang baik dan ada orang-orang yang hebat bersama. Kalau boleh diberi markah, markahnya tinggi, markah A," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di kediaman rasmi menteri besar di JKR 10, Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas pencapaian 100 hari pentadbiran Muhyiddin semalam.

Kesan daripada Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan, Muhyiddin bersama Umno-BN dan PAS membentuk PN sebagai gabungan kerajaan.

Ia mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Muhyiddin juga melantik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menjadi duta khasnya ke Timur Tengah dengan berpejabat di Putrajaya.

Sementara itu ditanya mengenai proses pengagihan kerusi antara PAS dan Umno sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum, Mohd Amar berkata, perbincangan mengenai perkara itu hanya melibatkan pimpinan tertinggi antara parti.

Jelasnya, secara dasar perkara itu diberi mandat kepada PAS pusat untuk membuat pendirian.

"Kita di peringkat negeri akan melaksanakan apa yang yang diputus, kami sendiri di peringkat negeri tidak bincang.

"Kita harap prosesnya berjalan dengan baik dan mendapat formula yang diterima oleh semua pihak," katanya.