Agong kurnia sumbangan pada gelandangan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada komuniti gelandangan di Pusat Penempatan Gelandangan Desa Tasik Cheras di Kuala Lumpur.
Pemberian sumbangan yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah itu adalah bersempena dengan Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia.
Ini aktiviti pertama Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat hadir, yang diadakan di luar Istana Negara, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 11 pagi ini disambut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.
Seramai 49 gelandangan menerima sumbangan berbentuk barang keperluan harian dan wang tunai pada majlis itu yang berlangsung mengikuti tatacara kebiasaan baharu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke majlis itu mencerminkan keperibadian tinggi menyantuni golongan gelandangan di Kuala Lumpur.
“(Ia juga mencerminkan) keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap golongan ini yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis itu dianjurkan bersama oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah untuk membantu golongan berkenaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai