Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Edict pertikai persepsi kaum India paling ramai mati dalam tahanan

Ekoran kematian seorang warga Afrika-Amerika ketika ditahan polis di Menneapolis, AS baru-baru ini, sebuah kumpulan hak asasi manusia tampil menyanggah persepsi yang timbul bahawa kaum India yang paling ramai mati dalam tahanan di negara ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, kumpulan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata, sesetengah pihak membuat perbandingan antara kematian George Floyd dengan kematian dalam tahanan membabitkan rakyat berbangsa India di Malaysia.

“Sesetengah daripada kita bergurau, kalau ikutkan laporan akhbar harian, kebanyakan yang meninggal dunia adalah orang India.

“Kami buat dakwaan itu berdasarkan fakta ini: dalam bahagian orbituari, majoriti pengumuman kematian adalah daripada orang India.

“Sesetengah orang menyebarkan semula artikel lama atau menyiarkan artikel baru, yang membandingkan orang India di Malaysia dengan orang Afrika-Amerika di AS,” kata Edict.

Edict merupakan sebuah NGO yang tidak bermotifkan politik atau parti politik, dan bertujuan untuk menghapuskan kematian dan penderaan dalam tahanan di negara ini.

Edict merujuk satu artikel berjudul "Indian Malaysians are over-represented in police custody deaths” yang disiarkan oleh The Rakyat Post pada Khamis.

Penulis artikel itu, Anne Dorall, membangkitkan bahawa orang India hanya terdiri daripada tujuh peratus populasi Malaysia, tetapi kematian mereka dalam tahanan polis mencecah angka 23 peratus, berdasarkan kematian rasmi yang dilaporkan.

Artikel itu turut memetik Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang menganggarkan angka itu mungkin lebih tinggi, iaitu pada tahap 55 peratus.

“Perkara pokoknya adalah ini: secara purata, 16 orang mati dalam lokap polis Malaysia setiap tahun. Itulah masalah yang perlu kita lihat,” kata Edict.

Kumpulan itu kemudiannya merujuk kepada Martin Vengadesan, yang menulis “Whose lives matter" yang disiarkan di The Star pada 2018 dan satu lagi artikel, “White trash, George Floyd and the Malaysian equivalent” disiarkan di Malaysiakini bulan lalu.

Artikel pertama disebarkan semula selepas kematian Floyd. Vengadesan juga membangkitkan kebimbangan tentang bilangan kematian dalam tahanan yang lebih tinggi membabitkan kaum India dalam artikelnya di The Star, manakala dia menyentuh mengenai kematian Floyd dalam artikel berikutnya.

Vengadesan turut merujuk data Suaram yang mencadangkan 55 peratus kematian dalam tahanan membabitkan kaum India, namun menurut kajiannya sendiri berhubung perkara itu dalam media arus perdana sejak 1996-2011, dia menganggarkan angka tersebut hampir mencecah 80 peratus.

“Dia serahkan kepada pembaca untuk mempercayai data yang mana satu, memandangkan hal pokoknya masih sama: ‘bilangan orang India yang mati di dalam lokap adalah tinggi’.

“Yang ingin disampaikannya ialah, ‘banyak ketidakadilan tidak mempunyai kecendurangan terhadap sesuatu kaum, tetapi keganasan polis nampaknya ada kecenderungan itu’,” kata Edict.

NGO itu turut menyuarakan pandangan mereka terhadap pendapat Anne dan Vengadesan yang mencadangkan bahawa polis Malaysia menyasarkan kaum India.

“Secara hormatnya, kami tidak bersetuju (dengan cadangan itu).

“Kami tahu, ramai orang akan kecewa dengan apa yang kami katakan di sini, kerana kami benar-benar percaya orang India berdepan situasi buruk di Malaysia.

“Kami memang sedar bahawa ratusan ribu orang India mati ketika bekerja di ladang semasa era British dan (ketika membina) landasan kereta api pada era Jepun.

“Kami memang sedar bahawa selepas perang, ratusan ribu pekerja India disingkirkan dari estet ke kawasan kediaman miskin yang sesak di bandar.

“Meskipun ada data kuat untuk menyokong kenyataan-kenyataan ini, tidak ada data kuat untuk menyokong kenyataan bahawa polis Malaysia menyasarkan orang India secara sistematik.

“Kebenarannya adalah, salah laku polis di Malaysia tidak mengenal kaum. Di Malaysia, tindak balas terhadap kematian 'Floyd' haruslah tindak balas terhadap keganasan polis, bukan tindak balas terhadap diksriminasi (yang dikatakan menyasarkan) terhadap orang India,” katanya.

[Baca berita asal]