Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PH bertindak tepat tak letak calon di Chini, kata pemerhati

PRK CHINI | Pemerhati politik menyifatkan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan tepat apabila tidak bertanding di Chini kerana ia hanya akan memberikan persepsi negatif buat gabungan tersebut.

Ia juga dirasakan keputusan yang matang dibuat PH selepas mereka tewas dalam lima PRK sebelum ini.

Penganalisis politik kerajaan yang sebelum ini bertugas di Jabatan Perdana Menteri, Dr Al Azhari Siddiq Kamunri, berkata keputusan Anwar Ibrahim dan PKR tidak meletakkan calon di Chini memberikan dua makna.

"Pertama, keputusan itu melambangkan kematangan politik oleh Anwar dan ianya seiring dengan usaha perdana menteri dan kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19 agar sektor ekonomi dapat dibangunkan semula.

"Kedua, ianya suatu langkah pragmatik menandakan bermulanya kerjasama politik 'gentlemen agreement' antara Anwar-Najib Razak khususnya apabila anak bekas perdana menteri itu khabarnya akan dicalonkan di PRK tersebut.

"Selain itu ia dapat mengelak daripada terus menerima imej negatif jika PH tewas buat kali keenam dalam PRK. Saya kira ini sangat mustahak," katanya kepada Malaysiakini.

Al Azhari Siddiq Kamunri

Pada 6 Jun lalu, PKR mengumumkan bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon bagi mencabar calon kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Chini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu Malaysiakini, keputusan itu ia juga bermakna PH tidak akan meletakkan calon mereka.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata mereka membuat ketetapan itu selepas mengambil kira masalah Covid-19 yang masih belum ditangani sepenuhnya dalam negara.

Dapat lihat persediaan SPR

Selaras dengan itu, Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berharap agar tiada mana-mana pihak - termasuk bebas - yang tampil menjadi calon, sekali gus memberikan kemenangan percuma buat mereka.

Bagi penganalisi politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata Chini merupakan laluan sukar untuk PH di Pahang.

Mendakwa prestasi kerajaan PN diterima baik rakyat ketika ini, Mohd Azizuddin berkata agak mustahil untuk PH berpeluang menang di kubu kuat BN itu.

Bagaimanapun katanya, jika ada pertanding ia memberi peluang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) berkempen ketika negara masih berdepan wabak Covid-19.

"PRK Dun Chini susah sikit untuk dimenangani PH, ia kubu kuat BN. Tapi jika ada pertandingan kita dapat melihat sejauh mana persediaan dan pendekatan SPR mengendalikan kempen ketika Covid-19.

"Selain itu kita juga dapat melihat sejauh mana kerjasama dalam komponen PN ketika PRK itu nanti jika ada pertandingan," katanya.

Mohd Azizuddin Mohd Sani

Seorang lagi pemerhati politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir menyifatkan ia langkah selamat PH untuk mengelak persepsi negatif jika tewas lagi dalam PRK Dun Chini.

"Saya percaya mereka melihat faktor-faktor yang akan membawa kepada kekalahan jika bertanding.

"Selepas tewas lima kali berturut-turut dalam PRK sebelum ini, ia memberi imej tidak baik jika terus tewas dalam PRK kali ini," katanya kepada Malaysiakini

Tambah Jeniri, dalam situasai negara ketika ini, diharap tidak ada pihak termasuk calon bebas akan bertanding dalam PRK Chini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.