Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Permintaan 'arak keras' meningkat?

Lain yang dirancang, lain pula jadinya.

Ketika kerajaan mahu mengehadkan pengambilan minuman keras, permintaannya pula bertambah di beberapa tempat.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa kedai serbaneka di ibu kota semalam mendapati minuman keras dengan kandungan alhohol tinggi seperti wiski dan brandi kehabisan stok.

Beberapa pekerja berkata terdapat pengguna yang membeli minuman keras itu dengan kuantiti banyak kerana bimbang kehabisan stok.

Ini susulan keputusan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan lesen baru jualan arak.

“Untuk wiski memang kami tiada stok tetapi untuk bir yang biasa. Setakat ini (bir) masih ada lagi dan tiada kekurangan stok.

“Ada peniaga yang beli, sekali beberapa botol. Mungkin mereka takut tiada stok lepas dengan pembekuan lesen ini,” katanya di kedai di Bangsar, Kuala Lumpur.

Wiski dan brandi, mengikut jenisnya, mempunyai kandungan alkohol lebih 40 peratus manakala bir pula biasanya tidak lebih lima peratus.

DBKL pada 2 Jun lalu mengumumkan pembekuan semua permohonan baru untuk lesen minuman keras berkuat-kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat susulan munculnya pelbagai laporan media berkaitan kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk.

Ada antara kecelakaan itu melibatkan kematian.

Bagaimanapun terdapat pihak yang tidak bersetuju atas alasan melanggar hak budaya dan membawa kepada isu ketagihan dadah.

Sementara itu, keadaan sama dikatakan berlaku di kedai sama daripada rangkaian kedai serbaneka itu di Sentul, Kuala Lumpur.

Namun, kata pekerja di situ, peningkatan jumlah pembelian minuman keras itu tidak ketara.

“Bukanlah dalam berderet dua tiga hari, cuma kadang-kadang itu perasanlah (orang) beli banyak semenjak DBKL keluarkan notis,” katanya.

Di Pantai Dalam pula, seorang pekerja berkata mereka sengaja mengurangkan pengambilan stok minuman keras beralkohol tinggi.

Pekerja itu bagaimanapun tidak jelas kenapa tindakan itu diambil pihak atasannya.

“Semenjak DBKL keluarkan lesen, supervisor (penyelia) kami memang hadkan stok (wiski).

“Tetapi bir ini semua ada lagi. (Bir) yang tin semua tiada masalah. Kami tiada yang minuman keras mahal macam whiski. Itu saja. Ada pun tinggal yang display (paparan),” katanya lagi.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi ibu pejabat rangkaian kedai serbaneka itu untuk mendapatkan gambaran lebih menyeluruh berkaitan isu ini.

Lesen lama boleh diperbaharui

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika dihubungi portal ini menjelaskan bahawa pembekuan lesen arak ini hanya melibatkan lesen baru.

Nor Hisham Ahmad Dahlan 

Jelasnya juga, pembaharuan lesen masih tetap dibenarkan.

“Pembekuan permohonan baru sahaja sehingga dasar baru diperoleh daripada kerajaan, manakala pembaharuan lesen dibuat seperti biasa dan tidak dibekukan,” katanya lagi.