Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bebas kes aktif, New Zealand tamatkan perintah berkurung

GLOBAL | Tiada sebarang kes aktif Covid-19 dilaporkan di New Zealand untuk kali pertama pada hari ini (Isnin) sejak wabak koronavirus baru itu direkodkan di negara berkenaan, lapor Aljazeera.

Perdana Menterinya Jacinda Arden mengumumkan New Zealand akan menamatkan perintah berkurung susulan wabak koronavirus pada Isnin, 12 tengah malam waktu tempatan (New Zealand).

Pada masa sama rakyatnya yang berjumlah lima juta orang itu dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Pengumumannya itu dibuat selepas pegawai perubatan melaporkan bahawa individu terakhir yang dijangkiti telah sembuh wabak Covid-19.

“Kita telah membendung penularan virus setakat ini. Bagaimanapun, tugasan masih belum selesai. Ia (perjalanan) masih panjang lagi,” katanya sambil berterima kasih kepada rakyat negara itu.

New Zealand akan menarik semula larangan berkaitan dengan koronavirus di kedai, restoran dan pejabat dan penjarakan fizikal tidak lagi diwajibkan, walaupun ia digalakkan.

Ketua Pengarah Kesihatannya, Dr Ashley Bloomfield berkata, ia merupakan perkembangan yang memberangsangkan untuk rakyat New Zealand.

"Tidak mempunyai kes aktif untuk pertama kalinya sejak 28 Februari pastinya merupakan tanda penting dalam perjalanan kami (dalam melawan Covid-19), tetapi seperti yang kami katakan sebelumnya, tindakan berjaga-jaga secara berterusan dalam menghadapi Covid-19 akan terus menjadi keutamaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa koronavirus tetap diberikan perhatian ekoran pertumbuhan kes di tempat lain di dunia.

Arden berkata, sempadan akan tetap ditutup. Sambil menggambarkan ia merupakan benteng pertahanan utama dalam mencegah penularan wabak itu, beliau memberitahu, hanya warganegara dan penduduk, dengan beberapa pengecualian, dibenarkan masuk ke negara tersebut.

Menurut pakar-pakar, beberapa faktor telah membantu negara tersebut membendung penularan Covid-19, ia termasuk lokasinya yang terpencil, diikuti dengan kepimpinan yang ditonjolkan oleh perdana menterinya, yang melaksanakan perintah berkurung yang ketat sejak awal wabak tersebut merebak.

Kira-kira 1,500 orang dijangkiti virus tersebut di New Zealand, termasuk 22 kematian. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.