Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin Armada K'tan: Gantung keahlian anggota disiasat SPRM

Sejumlah 12 pemimpin akar umbi pemuda Bersatu (Armada) Kelantan menggesa parti itu menggantung keahlian anggota yang terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rampasan wang tunai RM600,000.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata perkara itu telah telah merosakkan imej Armada.

“Siasatan ke atas penyalahgunaan dana ini bukan bermotifkan politik menjelang pemilihan tetapi berikutan kehilangan wang berjumlah RM250,000 di dalam peti besi di rumah bekas Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah tersendiri gugur dari keahlian Bersatu baru baru ini.

“Kami berharap pimpinan Bersatu membersihkan kesemua individu yang terlibat dengan kes ini dan menggantung keahlian mereka seketika sementara siasatan di jalankan," kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani empat ketua Armada sedia ada iaitu Saizo Abd Ghani (Kota Bharu), Mohd Suhardi Mohd Fauzi (Tumpat), Wan Mohamad Syakir Wan Mohamad Azlan (Kuala Krai) dan Syed Mohd Amiruddin Syed Aluawi (Rantau Panjang).

Lapan lagi penandatangan ialah mereka yang menang jawatan ketua Armada dalam pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini, iaitu Muhammad Amiin Ridhuwan (Pasir Mas), Nas Azreel Nasruddin (Pengkalan Chepa), Mohd Ridhwan Nordin (Tanah Merah), Ahmad Firdaus Nawi (Machang), Nik mohd Haniff Paramli (Gua Musang), Mohd Ilmie Sapie (Jeli), Mohd Fami Zakaria (Bachok) dan Aiman Zawawi (Ketereh).

Semalam, SPRM dilaporkan merampas wang tunai berjumlah RM600,000 daripada rumah dua anggota Armada, selain merampas sebuah kereta berharga RM100,000 milik pihak ketiga yang dipercayai dibeli menggunakan dana yang disalahgunaka.

Pengarah siasatan SPRM,Norazlan Mohd Razali dipetik berkata, kedua-dua ahli Armada itu disoal siasat pada 5 Jun lalu berhubung laporan yang dibuat oleh Syed Saddiq berhubung kehilangan RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya, pada Mac lalu.

Ahli Armada yang menyokong bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendakwa SPRM melakukan intimidasi terhadap mereka yang menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun ia dinafikan suruhanjaya itu.

Dalam pada itu, mereka juga menyatakan sokongan terhadap keputusan Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu baru-baru ini yang mengesahkan keanggotaan Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malik terhenti serta-merta atas dasar melanggar perlembagaan parti.