Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Apakah pakej rangsangan ekonomi, Penjana sah dibelanja tanpa lalui Parlimen?

KATA MP | Apakah pakej rangsangan ekonomi dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara bernilai RM295 bilion sah dibelanjakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang keabsahannya dipersoalkan?

Persoalan di atas penting dijawab.

Pada 27 Mac, Muhyiddin telah membentangkan pakej tersebut di mana RM25 bilion diperuntukkan sebagai bantuan one-off untuk meringankan beban kewangan rakyat golongan berpendapatan rendah.

Pada 6 April, Muhyiddin membentangkan pakej rangsangan ekonomi kali kedua berjumlah RM10 bilion sebagai subsidi gaji bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mengekalkan para pekerja mereka.

Kemudian, yang terbaru ialah pada 5 Jun iaitu semalam, buat kali ketiga Muhyiddin bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 bilion.

Semua usaha pakej rangsangan ekonomi dan Penjana ini yang kesemuanya menelan belanja sebanyak RM295 bilion adalah usaha yang baik untuk negara dan rakyat. Hakikat ini tidak dinafikan. Tujuannya baik.

Tetapi tujuan yang baik mestilah melalui cara yang baik. Malaysia sebuah negara yang bergerak atas lunas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.Tujuan yang baik sekalipun tidak dianggap sah sekiranya cara digunakan adalah salah. Ringkasnya, tujuan tidak menghalalkan cara.

Kuasa Agong, prosiding Parlimen

Ini kembali kepada persoalan awal tadi. Apakah Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin sebuah kerajaan yang sah yang boleh membelanjakan sejumlah wang negara berjumlah RM295 bilion tanpa diluluskan oleh Parlimen?

Ada hujah yang menyatakan Muhyiddin adalah perdana menteri yang sah kerana pada 1 Mac 2020 beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Hujah tersebut benar hanya setakat isu pelantikan perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a). Tetapi sama ada Muhyiddin benar-benar mempunyai jumlah sokongan majoriti yang mencukupi di Dewan Rakyat perlu dibuktikan secara sahih di dalam prosiding Dewan Rakyat.

Bukan berdasarkan akuan bersumpah (SD) yang dibawa ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong. Bukan juga melalui kiraan susunan kerusi di blok kerajaan. Apa yang sah dikira ialah jumlah undi ahli Dewan Rakyat yang hadir dalam sidang Parlimen di Dewan Rakyat tersebut.

Sistem demokrasi di Malaysia mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) adalah kuasa Institusi Raja yang diterima pakai oleh Perlembagaan Persekutuan. Undi percaya di Dewan Rakyat terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin pula adalah kuasa Parlimen dalam menentusahkan kepercayaan terhadap seseorang perdana menteri.

K'jaan bawa usul percaya

Tun Hussein Onn, perdana menteri ketiga ketika menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak yang telah meninggal dunia telah melalui proses ujian kepercayaan terhadapnya di Dewan Rakyat.

Waktu itu majoriti Kerajaan BN amat besar, lebih majoriti dua pertiga di Parlimen. Sudah terang lagi bersuluh. Akan tetapi prosiding undi percaya terhadap Tun Hussein tetap diadakan. Tetapi sekarang majoriti yang ada pada Muhyiddin jadi tanda tanya.

Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin sepatutnya pada 18 Mei 2020 yang lalu membawa usul percaya terhadap Muhyiddin. Usul Percaya tersebut adalah usul dari kerajaan PN.

Usul undi tidak percaya oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad boleh ditangguhkan kemudian. Usul percaya dari kerajaan PN adalah urusan kerajaan dan perlu diutamakan. Jika usul percaya itu lulus dengan sendirinya usul tidak percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi terbatal dengan sendirinya.

Peluang untuk Muhyiddin membuktikan beliau ada sokongan majoriti telah terlepas. 18 Mei lalu adalah masa yang seawal mungkin untuk Mahyuddin menyelesaikan isu keabsahannya sebagai perdana menteri.Tetapi peluang itu telah terlepas.

Jadi soal sah atau tidak kerajaan PN pimpinan Mahyuddin Yassin berleret-leret sampai sekarang. Bolehkah tanpa ada semakan, perbahasan dan kelulusan di Parlimen, Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin yang keabsahannya dipersoalkan membelanjakan wang negara sebanyak RM295 bilion begitu sahaja?

Jawapan saya sebagai seorang ahli parlimen ialah Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin tidak boleh berbuat demikian.


HASSAN KARIM ialah Anggota Parlimen Pasir Gudang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.