Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Perangkaan nafi pengangguran kini cecah 2.05 juta orang

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengatakan jumlah pengangguran kini meningkat kepada 2.05 juta orang,

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata telah mengeluarkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia Mac 2020 dan Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia suku pertama 2020 pada 8 Mei yang memaparkan statistik Tenaga Buruh, Guna Tenaga dan Pengangguran yang diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB).

"Laporan tersebut menyatakan penangguran pada bulan Mac 2020 berjumlah 610,500 orang berbanding 521,300 ribu orang yang dicatatkan pada bulan sama tahun 2019," jelasnya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, angka ini adalah sepadan dengan kadar pengangguran sebanyak 3.9 peratus pada bulan Mac 2020, yang merupakan yang tertinggi sejak bulan Jun 2010.

Angka pengangguran pada April 2020 dijangka akan dikeluarkan pada 15 Jun.

Jabatan itu memberikan maklum balas berkenaan selepas tular satu infografik di media sosial serta perkhidmatan pesanan Whatsapp dan Telegram.

Imej yang memetik Jabatan Perangkaan itu mendakwa jumlah pengangguran kini terus meningkat dan tertinggi dalam sejarah iaitu seramai 2.05 juta orang.

Infografik itu juga mendakwa kerajaan "pintu belakang" Perikatan Nasional melantik ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan, sedangkan rakyat biasa kehilangan pekerjaan.

DOSM berkata pihaknya tidak mengeluarkan kenyataan tersebut dan menggesa orang ramai berhenti menyebarkannya serta merta.

"Orang ramai seharusnya berhati-hati dan tidak menggunakan nama DOSM bagi statistik yang tidak rasmi dan kiraan sendiri," jelasnya.