Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

RUU Covid-19 dibentang di parlimen Julai

Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara) sebagai komitmen bagi mengurangkan impak perundangan Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata Rang Undang-Undang itu dijangka akan dibentangkan pada sesi parlimen Julai ini.

Beliau berkata Rang Undang-Undang itu merupakan pelepasan sementara atau 'temporary relief' daripada tanggungjawab perjanjian bagi satu tempoh yang ditetapkan.

"Kerajaan berharap dengan adanya akta baharu ini, kelansungan hidup rakyat Malaysia umumnya dapat diteruskan," katanya ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen hari ini.

Kerajaan memperkenalkan Penjana dengan tema 'Bersama Menjana Ekonomi' sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka masa pendek merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Muhyiddin berkata Malaysia telah mengharungi krisis Covid19 hampir tiga bulan dengan petugas barisan hadapan dan pasukan keselamatan bekerja siang dan malam tanpa cuti atau rehat di hujung minggu.

“Alhamdulillah, dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan disiplin anda semua, penularan Covid-19 di negara kita telah dapat dibendung dengan lebih 80 peratus kes pulih sepenuhnya,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan aktiviti harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Jelasnya, sekiranya semua pihak terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan kes Covid-19 kekal terkawal, sektor-sektor yang masih dilarang pada masa ini akan dapat dibuka dengan lebih cepat.

Muhyiddin yang sebelum ini menjalani kuarantin di rumah kerana dikategorikan sebagai kontak rapat seorang pegawai kerajaan yang disahkan positif COVID-19 berkata, beliau dan semua kontak rapat yang lain disahkan negatif antaranya kerana mengamalkan SOP yang ditetapkan.

“Saya fikir antara sebabnya ialah jarakan sosial yang sentiasa diamalkan dalam semua mesyuarat dan pertemuan yang saya hadir. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita mengamalkan penjarakan sosial untuk mengelakkan diri kita daripada dijangkiti virus ini.

“Jadi, nasihat saya kepada saudara-saudari amalkanlah jarakan sosial walau di mana sahaja saudara-saudari berada. Ia mungkin pelindung atau benteng terakhir sudara-saudari daripada ancaman jangkitan Covid-19,” katanya.

Menarik perhatian, Muhyiddin berkata wabak Covid-19 kekal terkawal walaupun sektor-sektor ekonomi telah dibuka kerana majikan, peniaga, pekerja dan pelanggan di premis-premis perniagaan rata-rata mematuhi arahan garis panduan dan SOP yang ditetapkan.

Katanya sehingga kini tidak berlaku peningkatan mendadak kes-kes positif Covid-19.

“Banyak juga premis yang memudahkan pelanggan dengan hanya mengimbas kod QR tanpa perlu lagi mendaftar nama dan nombor telefon di dalam buku. Saya juga dapati rakyat sabar berbaris sebelum memasuki premis seperti pasaraya dan kedai makan serta mengamalkan jarakan sosial,” katanya.

Tambahnya, keadaan ini adalah kebiasaan baharu yang perlu diamalkan dengan penuh disiplin oleh semua bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. 

- Bernama