Adun lancar sistem pemadanan kerja di pasar basah
Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran melancarkan sistem pemadanan kerja dalam talian bagi mereka yang mahu bekerja atau mencari pekerja di pasar basah di Petaling Jaya.
Ini selepas serbuan pihak berkuasa ke atas pekerja asing tanpa dokumen yang sah di pasar terbabit, telah menyebabkan kekurangan tenaga kerja.
"Terdapat banyak peluang pekerjaan baru terbuka untuk rakyat tempatan yang berminat untuk bekerja di pasar-pasar dan medan selera. Saya menyeru rakyat Malaysia merebut peluang pekerjaan ini sementara ada," katanya di Facebook.
Beliau meminta mereka yang berminat untuk mencari pekerjaan mengisi borang dalam talian, manakala mereka yang mencari pekerja pula mengisi borang berasingan untuk dimasukkan dalam pangkalan data sedia ada bagi memadankan mereka.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, peniaga pasar basah yang ditemubual Rajiv mengatakan pekerja perlu bekerja dari jam 3 pagi hingga kira-kira jam 1.30 tengah hari setiap hari untuk membantu memunggah, mengatur dan mengemas barang.
Mereka akan menerima gaji harian sebanyak RM60, kata peniaga terbabit.
Bagaimanapun, naib presiden persatuan peniaga, Raja Ratnam memberitahu The Star purata gaji di pasar Jalan Othman adalah sekitar RM2,000 sebulan.
Mereka juga katanya akan menerima potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Terdahulu, Perkeso berkata pekerja yang hilang pekerjaan di seluruh negara pada suku pertama 2020 meningkat 42 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Trend ini hanya dijangka meningkat dari April 2020, dengan kehilangan pekerjaan meningkat 50 peratus kepada 200 peratus tahun ke tahun bagi setiap suku berikutnya pada 2020,” katanya dalam laporan yang diterbitkan pada hari Rabu.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2018 terdapat 162,000 siswazah menganggur, yang merupakan 3.9 peratus daripada jumlah graduan.
Angka itu meningkat 4.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pada tahun 2018, Persekutuan Majikan Malaysia mengatakan bahawa data menunjukkan graduan ijazah baru memperoleh RM2,393 sebulan, sementara pemegang diploma memperoleh purata gaji sebanyak RM1,661 sebulan.
Menurut data jabatan perangkaan, purata gaji di Malaysia pada tahun 2018 adalah RM2,308 sebulan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai