Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Taska persendirian diminta berdaftar dengan KPWKM

Menteri Kanan (Klsuter keselamatan) Ismail Sabri Yaakob meminta pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar untuk mendaftar dengan kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau berkata ini bertujuan membolehkan kementerian berkenaan memantau jangkitan Covid-19 dan membolehkan pengendali taska mendapat latihan secukupnya.

"Saya menyeru kepada tadika persendirian, walaupun jaga 3-4 orang anak sekalipun, supaya berdaftar dengan KPWKM, supaya mereka boleh dapat latihan. Mungkin dapat latihan secara percuma.

"Oleh kerana mereka tak daftar, agak sukar nak mengawasi mereka dari segi SOP (prosedur operasi standard) walaupun SOP sedia ada untuk taska amat ketat sekali bagi jaga kesihatan anak-anak tersebut," kata Ismail dalam sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Beliau juga meminta pusat jagaan kanak-kanak ini memuat turun SOP dari kementerian atau laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Terdahulu, Ismail berkata kerajaan bimbang kewujudan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar kerana di luar tanggungjawab kementerian sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kepada kanak-kanak.

Mengenai sekolah persendirian atau separa kerajaan yang mengenakan yuran kepada pelajar walaupun sekolah masih ditutup, Ismail menyifatkan perkara itu sebagai tidak beretika.

"Dari segi etikanya, sepatutnya kalau servis tak diberikan, bayaran tak perlu diminta. Dalam isu sekolah separa kerajaan ini, sekolah masih ditutup. Oleh kerana masih ditutup, tentu saja guru-guru tak mengajarpun.

"Macam bas sekolah, saya kesian. Kita beritahu, tak boleh kutip tambang kerana anak-anak tak pergi sekolah, jadi kenapa nak kutip tambang?" soalnya.

Katanya, meskipun sekolah swasta ini menghadapi masalah kewangan, ibu bapa juga menghadapi masalah sama.

"Jadi harap sekolah-sekolah tak ambil peluang untuk paksa ibu bapa bayar yuran walaupun anak mereka tak bersekolah," katanya.

Belum ada tarikh ditetapkan untuk pembukaan semula sekolah tetapi garis panduan yang baru dikeluarkan menyatakan hanya pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam dibenarkan kembali ke kelas.