Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19: Kelantan kembali jadi zon hijau

Kelantan kembali diisytihar sebagai zon hijau selepas tidak merekodkan kes baru Covid-19 sejak 14 hari lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin dalam kenyataan media hari ini.

"Alhamdulillah, Kelantan kekal tiada kes baru positif Covid-19 pada hari ini. Terdapat satu kes sembuh hari ini (kes 156) menjadikan negeri kini bebas dari Covid-19.

"Kita belum bebas sepenuhnya walaupun Kelantan tiada kes baru Covid-19 dicatatkan. Patuhi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan amalkan penjagaan kebersihan diri dan penjarakan sosial demi kebaikan bersama," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin mengesahkan pesakit yang sembuh itu merupakan wanita hamil yang menjadi pesakit terakhir yang dilaporkan di negeri itu setakat ini.

"Wanita tersebut sudah sembuh dan sudah discaj, tetapi sekarang kita rawat kandungannya yang tiada sebarang kaitan dengan Covid-19," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 20 Mei lalu, selepas kira-kira sebulan bebas daripada sebarang kes Covid-19, Kelantan merekodkan kembali kes baru wabak itu melibatkan wanita hamil tersebut.

Pesakit merupakan salah seorang pemastautin di Ampang, Selangor yang sebelum itu merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi tujuan persediaan bersalin.