Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Segerakan pindaan untuk menghukum pemandu mabuk, kata Anwar

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hari ini menyokong saranan supaya pindaan undang-undang bagi menghukum kesalahan memandu ketika mabuk disegerakan.

Bercakap pada sesi langsung di Facebook, petang tadi, Anwar berkata hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan tidak mencukupi untuk menangani mereka yang mengendali kenderaan ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

“Di Barat pun ada undang-undang tidak boleh memandu bila minum walau tidak mabuk sebab bahaya itu ada.

"Oleh itu, saya minta hukuman yang lebih berat supaya benar-benar menghalang jenayah ini berulang seperti yang disarankan oleh pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini," katanya.

Anwar, yang adalah presiden PKR dan ketua pakatan PH mengulas mengenai insiden kemalangan jalan raya maut yang membabitkan pemandu mabuk.

Kejadian tersebut menimbulkan perdebatan awam dengan ramai yang mahukan hukuman lebih berat bagi mereka yang didapati memandu dalam keadaan mabuk.

Mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan, seseorang yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 12 bulan dan denda antara RM1,000 hingga RM6,000.

Anwar berkata, ini adalah antara sebab mengapa negara memerlukan Parlimen untuk bersidang secepat mungkin agar perkara-perkara penting seperti pindaan undang-undang itu dapat dibentangkan dan diluluskan.

“Pada saya ini masalahnya apabila parlimen tidak bersidang. Kadang-kadang orang tanya kenapa kita desak parlimen sidang segera.

“Kalau nak pinda Akta Pengangkutan Jalan, nak hukum pemandu mabuk, bagaimana nak melakukannya tanpa undang-undang baru? Ini hanya dapat dilakukan melalui Parlimen,” katanya.

Anwar pada sesi langsung itu, turut menyatakan kebimbangannya terhadap kenaikan kadar pengangguran di negara ini.

Katanya, unjuran yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Persekutuan Majikan Malaysia adalah pada tahap yang membimbangkan.

Badan-badan tersebut menjangkakan Malaysia akan menyaksikan kadar pengangguran masing-masing pada kadar 9.2 peratus dan 13 peratus, menjelang akhir tahun ini.

“Ini jangkaan setengah hingga satu juta yang akan menganggur atau akan dibuang kerja, ini satu yang sangat merungsingkan.

“Kerana apabila mereka hilang pekerjaan, mereka juga kehilangan pendapatan. Jadi sewa tak boleh bayar, sekolah anak-anak terjejas dan sebagainya. Ekonomi juga tidak akan berkembang,” katanya.

Justeru, Anwar mengesyorkan kerajaan supaya mengambil beberapa langkah ekonomi menyeluruh tetapi pada masa yang sama tidak berkompromi terhadap keselamatan rakyat semasa penularan wabak Covid-19.

Ini, katanya, dapat dilakukan dengan mengadakan perbincangan yang lebih luas untuk menghasilkan rancangan atau garis panduan ekonomi awalan untuk negara ini.

[Baca berita penuh]