Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lepas kuarantin 14 hari, PM, peserta mesyuarat pascakabinet kembali kerja esok

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan semua yang menyertai mesyuarat pascakabinet 20 Mei lalu akan kembali bekerja esok, setelah tamatnya tempoh kuarantin 14 hari mereka.

Berdasarkan prosedur operasi standard, mereka juga menjalani ujian kali kedua semalam dengan keputusannya negatif.

Pada mesyuarat tersebut, mereka terdedah kepada seorang pegawai yang dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka menjalani ujian swab semalam dan didapati negatif.

"Mereka akan kembali bekerja esok," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Kumpulan itu, termasuk Muhyiddin, telah menjalani kuarantin selama 14 hari, selepas menyertai mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid, yang kemudian disahkan positif Covid-19.

Selain Muhyiddin, turut menjalani kuarantin ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof.

Bagaimanapun Redzuan berkata beliau menerima kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara untuk bertemu Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.

Pertemuan itu mencetuskan spekulasi Redzuan mungkin akan meninggalkan Perikatan Nasional. Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu.