Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Annuar sahkan surat arah saringan Covid-19 di Pangsapuri Segar Ria

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa semalam mengesahkan surat arahan berhubung aktiviti kawalan dan pensampelan Covid-19 ke atas penghuni Blok D Pangsapuri Segar Ria, Taman Bukit Segar, Cheras yang tular kelmarin adalah tulen.

Beliau dalam ciapan Twitternya turut memuat naik salinan surat yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Cheras kepada Badan Pengurusan Bersama pangsapuri itu yang menyatakan bahawa terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan penghuni Blok D di pangsapuri berkenaan.

"Ada yang tanya adakah surat ini tulen, jawabnya ya, (penghuni Pangsapuri Segar Ria) pohon beri kerjasama," katanya dalam ciapan Twitter beliau.

Kelmarin, tular di media sosial surat yang ditandatangani Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Cheras Dr Noriah Hajib memaklumkan kepada penghuni terlibat bahawa aktiviti kawalan dan pensampelan Covid-19 akan dijalankan susulan kes positif yang dilaporkan itu.

Dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kluster baru dikesan di sebuah pangsapuri di Cheras yang mempunyai enam kes iaitu tiga kes penghuni dan tiga di luar kawasan pangsapuri.

Katanya punca sebenar penularan kluster itu masih disiasat dan beliau tidak menolak kemungkinan berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Aidilfitri.

Dr Noor Hisham berkata selain tindakan pengesanan kes secara aktif, beberapa langkah kawalan penularan wabak di pangsapuri itu turut giat dijalankan seperti pengasingan kontak dan aktiviti persampelan, aktiviti nyahkuman dan nyahcemar serta hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan Covid-19.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.