'Larang jual arak tak selesai isu pemandu mabuk, bawa masalah lain'
Langkah melarang penjualan arak - sama ada secara sementara atau kekal - tidak akan menyelesaikan masalah pemandu mabuk dan boleh membawa kepada masalah lain, kata Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin.
“Pemandu mabuk telah menjadi isu yang berlarutan, tetapi isu utama adalah terhadap masalah individu yang minum secara tidak bertanggungjawab.
“Pengharaman penjualan alkohol, sama ada sementara atau tetap tidak akan menyelesaikan isu malah membawa kepada lebih masalah seperti penjualan alkohol secara haram, penjualan alkohol tiruan dan lebih-lebih lagi pelanggaran hak budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Merujuk Sabah dan Sarawak, Chan berkata penggunaan alkohol sudah menjadi sebahagian daripada budaya sejumlah masyarakat di negeri itu, terutama ketika musim perayaan.
“Lihing, Tapai, Montoku adalah sebahagian dari budaya di sini, terutama pada musim perayaan seperti Kaamatan dan Gawai.
"Kerajaan perlu mencari penyelesaian yang lebih saksama berhubung isu pemandu mabuk, sementara tidak menafikan hak orang lain untuk menggunakan alkohol secara wajar, terutama di sebuah negara pelbagai kaum dan budaya seperti Malaysia," katanya lagi.
Beliau merujuk kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bahawa pihaknya sedia menimbang agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membekukan lesen penjualan arak.
Bagaimanapun ia hanya melibatkan permohonan lesen baru dan Zuraida juga berkata ia tidak boleh diputuskan secara teliti.
Terdahulu hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pembekuan semua permohonan baru untuk lesen minuman keras, susulan cadangan sama yang diutarakan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa semalam.
Ia susulan sejumlah kes kemalangan maut melibatkan pemandu yang disyaki mabuk baru-baru ini, yang membangkitkan kemarahan orang ramai.
'Setuju dengan Takiyuddin'
Mengulas lanjut, Chan yang juga merupakan Anggota Parlimen Kota Kinabalu berkata beliau setuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkenaan hak orang bukan Islam terhadap minuman beralkohol selagi tidak melanggar undang-undang.
Takiyudin berkata demikian pada 29 Mei lalu, yang antara lain turut menjelaskan komitmen kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk.
Katanya, Zuraida seharusnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan mencontohi Takiyuddin sebelum mengeluarkan kenyataan bersifat "cetek".
Jika bukan kerana kejatuhan kerajaan PH dan langkah kerajaan sekarang memendekkan sidang Dewan Rakyat, rang undang-undang untuk meminda hukuman terhadap pemandu mabuk mungkin sudah diluluskan sekarang, katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai