Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suhakam sambung semula inkuiri Joshua Hilmy, Ruth lepas PKPB

Suhakam akan meneruskan inkuiri awam mengenai kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth sejurus selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berakhir.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph dipetik The Malaysian Insight berkata pihaknya akan memutuskan tarikh bagi menyambung semula inkuiri itu secepat mungkin, selepas PKPB tamat.

Setakat ini, tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun, tetapi ia boleh dilanjutkan.

Inkuiri pada pertengahan Mac lalu ditangguhkan selepas dua pesuruhjaya Suhakam, termasuk Joseph, didapati positif Covid-19.

"Kami masih memerlukan baki 15 hari lagi untuk inkuiri bagi kes ini," kata Joseph, sambil menjelaskan tindakan pencegahan Covid-19 akan diambil bersesuaian dengan garis panduan Kementerian Kesihatan sebelum inkuiri itu disambung semula.

Inkuiri itu bertujuan untuk memastikan sekiranya Joshua dan Ruth menjadi mangsa kehilangan secara paksa.

Kali terakhir mereka dilihat pada 30 Nov 2016, dan hanya dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

KJ nafi ada hubungi Joshua, Ruth

Inkuiri itu sebelum ini dimaklumkan bahawa pasangan tersebut ingin melarikan diri dari negara ini setelah menerima panggilan telefon dan e-mel yang berbaur ancaman.

E-mel berkenaan mendakwa bahawa Joshua memurtadkan orang Islam menjadi Kristian.

Pada awal Mac lalu, bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin menafikan ada menghubungi Joshua dan Ruth dengan memberi amaran bagi menggesa supaya mereka meninggalkan negara ini.

Ia susulan salah seorang saksi, iaitu Selvakumar Peace John Harris mendakwa dia ditunjukkan suatu e-mel yang dikatakan dikirim oleh Khairy kepada Joshua.

Sebelum ini, Suhakam telah melakukan inkuiri serupa mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat. 

Inkuiri mengenai kehilangan dua aktivis itu menyimpulkan bahawa mereka diculik oleh Cawangan Khas dari Bukit Aman.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.