Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Tak hairan jika strategis DAP tempelak haluan baru PAS'

Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin membidas Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang menyifatkan PAS tersalah haluan.

"Sudah tentulah strategis DAP itu menempelak PAS kerana tidak memilih haluan seperti Amanah, sekutu rapatnya.

"Jika Liew memuji haluan baru PAS, sudah pasti akan dikirimkan kepadanya sekeping borang keahlian Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dengan pengecualian yuran seumur hidup. Namun, tidak begitu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kata Khairil, pemikiran politik Liew angat berbeza dengan kepemimpinan PAS.

Khairil mendajwa bahawa DAP selalu memecah-belahkan pemerintahan Melayu-Muslim yang berkuasa.

Katanya, PAS pernah bekerjasama dengan DAP sebelumnya, dengan kerjasama itu berdasarkan visi bersama dan terikat dengan syarat-syarat tertentu.

Namun, katanya, DAP melanggar syarat berkenaan yang menyebabkan PAS tidak teragak-agak untuk menamatkan kerjasama itu.

"PAS yang ditubuhkan sebelum merdeka mempunyai aspirasi dan tuntutan perjuangannya sendiri.

"Mana mungkin hanya disebabkan tahalluf siyasi itu PAS diminta untuk menanggalkan prinsipnya. Malaysia yang majoriti Melayu ini harus dinakhoda oleh kuasa politik Melayu-Islam yang solid," kata Khairil.

Kata pemimpin PAS itu lagi, "kesilapan" 22 bulan pemerintahan PH perlu disusun semula, direncana dengan lebih kukuh dan menjadi tonggak kestabilan politik di samping tidak menzalimi kaum serta agama lain.

"Itulah pengikat kerjasama baharu Muafakat Nasional PAS dan Umno serta parti-parti yang lain," katanya.

Khairil menegaskan bahawa kerjasama Umno-PAS adalah untuk memperkukuhkan kekuatan orang Melayu-Islam dalam politik yang menurutnya selama ini rapuh.

Jelasnya, Muafakat Nasional bukan untuk menghasut sentimen perkauman tetapi untuk membina kekuatan solidariti masyarakat Islam.

"Kepada siapa lagi untuk diharap kekuatan politik Melayu-Islam? DAP?

"Tujuan Liew menulis tempelak hala tuju PAS yang tersalah hanya untuk menutup kelemahan DAP. DAP adalah liabiliti terbesar kejatuhan PH.

"Betul, pengundi memilih PH untuk menyingkir BN dalam PRU lalu. Akhirnya mereka kecewa kerana janji sewenangnya dikhianati, hal agama dan kaum pula yang dipermainkan," katanya sambil menyorot kekalahan PH dalam lima PRK.

"Hari ini PH kembali meroyan untuk merampas semula kerajaan, tetapi rakyat lebih selesa ditadbir kerajaan yang lebih prihatin, damai dan menyenangkan," katanya.

Sebelum ini, Liew dalam satu artikelnya mendakwa PAS telah tersaalah haluan apabila bekerjasama dengan Umno.

"Setelah membakulsampahkan semangat 1982, parti itu kini dipukau oleh (Presiden Umno) Zahid (Hamidi) dan (bekas perdana menteri) Najib (Razak).

"PAS kini mendakap segala yang mereka benci selama hampir 40 tahun. PAS memang telah tersalah haluan," kata Liew.