Pengurus kelab malam didakwa memandu mabuk, tumbuk polis
Seorang pengurus kelab malam dihadapkan ke dua mahkamah majistret di Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan, termasuk memandu dalam keadaan mabuk, menumbuk anggota polis serta membaling kerusi terhadap penjawat awam terbabit.
Leng Kar Loon, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi dan S Mageswary.
Di hadapan Puteri Nursheila, bapa dua anak itu didakwa memandu Toyota Avanza di bawah pengaruh alkohol dengan kandungan alkohol di dalam badannya didapati sebanyak 200 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah (ml) berbanding had ditetapkan 80mg bagi 100ml darah.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Bulatan Bilion, Cheras pada jam 1 pagi, 21 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa Ins Abdullah Khazali menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Tan Kian Peng yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang berpendapatan RM2,500 sebulan menanggung dua anak berumur 10 dan 20 tahun.
Puteri Nursheila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Berlaku dalam bilik penguat kuasa
Sementara itu di hadapan Mageswary, Leng mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan.
Dia didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis trafik, Lans Koperal Mohd Radhie Md Yatim, 37, dengan menumbuknya sehingga menyebabkan kecederaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Leng dituduh melakukan kekerasan jenayah terhadap Mohd Radhie semasa anggota polis itu menjalankan tugas dengan membaling kerusi kepada mangsa.
Bagi pertuduhan berkenaan Leng didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa berkelakuan rusuh dan tidak senonoh terhadap anggota polis berkenaan dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah seksyen serupa yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau hukuman penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di bilik penguat kuasa Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur pada 1 pagi, 21 Mei lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan manakala Tan memohon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 21 Julai untuk sebutan semula kes.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai