Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SPRM Kelantan tahan pegawai polis disyaki terlibat rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang pegawai polis berpangkat asisten superintendan kerana disyaki terlibat dalam rasuah.

Sumber SPRM berkata, suspek dipercayai meminta rasuah sebanyak RM30,000 daripada seorang individu.

Katanya lagi, pegawai polis berusia 30-an itu dikatakan meminta wang tersebut sebagai balasan untuk menyelesaikan kes dan memberi perlindungan kepada suspek kes jenayah.

Pegawai polis berkenaan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK), ditahan jam 6.40 petang semalam di sebuah hotel di Kota Bharu, dan direman untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan penahanan pegawai polis tersebut.

Katanya, suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 5 Jun dan siasatan sedang dilakukan.