'Lesen baru jual arak wajar dibekukan'
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata pengeluaran lesen baru untuk penjualan arak wajar dibekukan sehinggalah panduan dan semakan perundangan mengenainya dilakukan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu mengetengahkan cadangan tersebut susulan berlakunya kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk.
"Dengan berlakunya kejadian pemandu mabuk dan menyebabkan kemalangan, adalah wajar pengeluaran lesen baru menjual arak dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan. Lesen premis PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu diperketatkan," ciapnya di Twitter hari ini.
Susulan insiden itu yang dilihat kian meningkat, ramai pihak mendesak kerajaan meminda undang-undang untuk memberikan hukuman yang lebih berat kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Terbaru kemalangan maut berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, awal pagi ini, yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya. Individu itu telah ditahan polis.
Selain itu, seorang peraih ikan hari ini didakwa atas tuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Kuantan setelah keretanya dipandu melawan arus dan merempuh sebuah kereta lain minggu lepas. Dalam kejadian itu, Herman Kamarudin, 41, meninggal di tempat kejadian.
Pada 29 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan menyatakan komitmen kerajaan kerajaan untuk mengambil tindakan tegas berhubung kes seumpama itu.
Takiyuddin berkata langkah segera yang akan diambil adalah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen seterusnya.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka hukuman berat terhadap pemandu mabuk.
"Statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 21 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dicatatkan sepanjang lima bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu, lapan mangsa telah kehilangan nyawa," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai