Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gawai tanpa tuak

ULASAN | “Anang nembu ka tuaknya, Anggat. Galau ka temuai ari ili nyin. Enggai ka enda ampit. Ngica ka nyadi bangkit ka manah, rita kitai di dinga orang jemah ila.”

"Jangan habiskan tuak itu, Anggat. Simpan sedikit untuk tetamu dari hilir. Takut kempunan. Sekurang-kurangnya ada haruman yang kekal, untuk kisah kita pada masa mendatang.”

Tanda-tanda alam yang ditinggalkan di daerah Song beberapa abad kebelakangan ini menyaksikan pelbagai rencah, diabadikan menjadi simbol kemasyhuran dan kekayaan adat resam dan kepercayaan masyarakat Iban terhadap agama leluhur yang dihormati di pesisir Sungai Song.

Warna-warna bumi yang malar, hijau, Ensurai berterbangan setiap kali angin menghempas pipi-pipi kayu pada musim tanah beranak-pinak.

Buah isu tumbuh, lada bercambah, kadang-kadang buah engkabang gugur berputar seperti propeller helikopter. Empeliau ataupun spesis Borneo White Bearded Gibbon (Hylobates albibarbis) mengintai di celah-celah tirai rimbunan rimba.

Jangan terkejut, sekali sekala mereka bagai mengalunkan nyanyian sanskrit Svara dengan simfoni angin, barangkali untuk mengucapkan selamat datang atau jangan datang.

Februari 1964 - Tuai Kulleh bangun seawal subuh untuk mengasah parang. Ayam jantan berkokok di tiang pengingat menjadi tanda upacara penting yang harus dilunaskan. Hari ini adalah hari permuafakatan di antara kita.

“Kita sebilik, kita serumah panjang harus memperingati peristiwa ini, atau mungkin nanti tidak ada lagi pesanan ini tersemat di ingatan, lebih-lebih lagi kamu, Angkabang.”

Tuai Kulleh menghela rokok apong berkali-kali, tangan kanannya memegang pergelangan tangan yang bercacah Tegulun. Entah berapa kepala yang sudah dipenggalnya lewat usianya ketika 40-an dulu.

Bergempuru atau berkumpul di kerangan (tebingan sungai) adalah satu istilah hedonis bagi suku Iban pada abad ke 21. Aktiviti barbeku, mandi sungai, berkelah ataupun berakit adalah aktiviti esktrem untuk anak iban pada zaman milienial ini.

Kebanyakan mereka memuat turun gambar wefie atau selfie dengan tandapagar, “love the nature”, ”anak iban in the jungle”, “let’s blow the river”, atau apa adanya. Masing-masing punya kapsyen, baik untuk menarik trafik media sosial, atau sekadar berbasa basi bagi menyatakan rindu pada buah hati.

Tak kisah apapun tujuan sosialnya, berkelah dan berkumpul di tepian sungai adalah sebuah aktiviti riadah, baik bangsa apapun. 

Kegiatan ritual

Ikan semah atau Llabeobarbus douronensis adalah spesis ikan bersirip dari keluarga Cyprinidae dalam Genus Tor. Ikan semah masih banyak tedapat di hulu sungai pedalaman Sarawak, terutama di kawasan hulu sungai deras di daerah Katibas, Song.

Ikan semah dianggap sebagai pilihan lain menggantikan ikan empurau kerana ramai yang tidak mampu membeli kerana harganya yang mahal. Ikan empurau? Itu saya serah kepada ‘influencer’ media sosial negeri yang sering bergambar makan malam di restoran dengan ikan mahal ini untuk mengulas lebih lanjut.

Bergempuru di sungai atau berkumpul di tepian sungai adalah sebuah signifikasi ritual. Suku Iban berkumpul di tepian sungai bersebab, sama ada untuk keramaian ataupun lebih daripada itu, untuk sebuah anologi yang sentiasa diingati, ia adalah kegiatan ritual.

Satu pelaksanaan ritual yang bukan semata-mata untuk mengadu nasib pada dewa-dewi. Berserah dan seumpamanya. Tetapi atas dasar memupuk semangat toleransi dan kejiranan sesama taulan. Semacam berkelah, tetapi bersebab.

Indai Tutong atau Mak Tutong bergaram-garam peluhnya. Menggaul beras pulut bersama-sama isi rumah yang lain. Memilih beras pulut yang terbaik di antara tuaian musim itu di tepian sungai Anchau, Katibas usai upacara bedarak ataupun miring (offering ritual).

Lazimnya hanya beras-beras dari tuaian yang terbaik dari bilik sebuah rumah panjang itu sahaja yang akan menjadi tuak. Sementara tuaian beras yang kurang baik dijadikan bekalan nasi untuk sepanjang musim sebelum menuai.

Tiada perasa gula, tiada warna atau perasa tambahan untuk menghasilkan tuak premium. Hanya ciping atau ragi yang mengolah air beras itu menjadi tuak. Gelak tawa dan canda juga terhad, masih terdapat pantang larang yang harus dipatuhi semasa proses membuat tuak.

Sungguhpun demikian, masih kedengaran dialog-dialog lucu berlapik dari kaum ibu yang menyediakan tuak yang ranum. Tuak yang baik adalah dari hati yang tulus, bersih dan sejernih beras yang dituai.

Manakala kaum lelaki pula menyediakan santapan hasil buruan dari hutan berdekatan. Percayalah, kelawar dan segala macam binatang eksotik adalah pilihan terakhir, kaum Iban memiliki citarasa yang unik. Kami tidak perlu bergambar dan bercerita kalau bersarapan dengan ikan empurau yang berharga RM2000 sekilo itu.

Tuak diperam selama paling kurang enam minggu untuk rasa yang dahsyat. Rasa yang dahsyat itu bergantung dengan peribadi si pembuat tuak. Dahulunya, seluruh ahli rumah panjang berkumpul di tepian sungai untuk memilih beras yang terbaik untuk menghasillkan tuak.

Evolusi peradaban manusia

Sekarang, masing-masing berada di kubikal rumah untuk menghasilkan resepi rahsia terbaik tuak. Walaupun pada hakikatnya, tuak adalah persembahan utama sebelum pemberian lain-lain untuk Tuhan leluhur.

Masing –masing ingin tampil hebat di hadapan Tuhan leluhur. Begitulah evolusi peradaban kemanusian suku saya dalam konteks persaingan.

Tuai Kulleh memperingatkan cucunya, Angkabang, supaya pada masa hadapan sekiranya ada anak, anaknya jangan dinamakan serupa mubaligh Kristian yang datang di sekitar daearah Song.

Setidak-tidaknya, ada sebaris nama dayak yang memperingatkan dirinya. Angkabang yang pendiam tidak menjawab, mungkin penat kerana menepuk lalat-lalat yang menghidu salai khinzir yang yang diburu sebelum berkumpul di tepian sungai pagi ini.

Apapun, peradaban manusiawi sentiasa berevolusi. Selepas sepuluh tahun,anak lelaki Angkabang di namakan Royston bersempena dengan nama Royston Sta Maria, pelakon hangat Indonesia 80-an yang kononnya bercinta dengan Suzzanna Martha Frederika van Osch,pelakon utama filem sensasi Indonesia Sundal Bolong. Seram dan tuak juga siap untuk diperam.

31 May 1974 - Malam sebelum sambutan Gawai sebenarnya lebih meriah. Mungkin kudrat untuk menanti detik jam 12 untuk menyambut ketibaan hari Gawai cuma sekadar simbolik,kerana tarikh sebenar sambutan Gawai bergantung kepada bila berakhirnya musim menuai.

Jadi tarikh itu cuma timeline yang direka untuk menyenangkan upacara sambutan secara menyeluruh, untuk Bumi Kenyalang yang semakin merdeka pada ketika itu.

Tarikh rasmi hari Gawai hari ini adalah usaha murni seorang wanita hebat yang bernama Philomena Anak Jemat ataupun lebih dikenali sebagai Datuk Sri Temenggong Tra Zehnder Beliau juga terbabit secara langsung dalam usaha memperjuangkan pengiktirafan ‘Hari Dayak’ (Hari Gawai Dayak kini) daripada kerajaan kolonial ketika itu.

Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1 Jun setiap tahun telah digazet secara rasmi oleh negeri Sarawak pada 25 September 1964 dan sambutan secara rasmi kali pertama pada tarikh itu telah diadakan oleh Dayak Youth Club pada 1965.

Iban kaki minum.

Iban suka minum .

Iban kaki mabuk.

Tuak dan Iban adalah kisah cinta yang romantis. Tuak adalah simbolik tuaian beras yang terbaik. Hasil dari tuaian beras yang baik akan di persembahkan kepada Tuhan leluhur yang memberi rezeki yang baik kepadaaa petani.

Jadi, sambutan ini adalah untuk meraikan hasil bumi, lebih-lebih lagi beras yang menjadi punca utama dan makanan ruji orang Asia. Stigma sambutan Gawai dan mabuk adalah retorik yang seringkali disatirakan .

Tuai Kulleh memberi pesan kepada Angkabang, “Semua tetamu yang datang harus dihidangkan dengan makanan dan tuak. Makan mesti kenyang, dan mereka berhak menikmati tuak yang telah dihasilkan.”

Mana mungkin tetamu yang datang, balik dengan perut kosong, ataupun kehausan. Paling-paling pun sedikit pening kerana usikan tuak yang kecindan. Jadi, sebenarnya, tuak juga adalah sebuah entiti yang pandai berlucu. Awas.

Anang nembu ka tuaknya, Anggat. Galau ka temuai ari ili nyin. Enggai ka enda ampit. Ngica ka nyadi bangkit ka manah,rita kitai di dinga orang jemah ila.”

Itu pesan Tuai Kulleh kepada Angkabang, yang sudah pastinya senang menghirup Tuak, lebih-lebih lagi semasa musim keramaian, seperti sambutan Gawai Dayak.

Apapun yang berlewah dan berlebihan memudaratkan.

Mabuk dan sekalian gerak separa sedar adalah tidak jelas. Maksudnya, mabuk adalah perilaku yang subjektif kalau kita pertimbangkan dengan luhur. Seperti kita kaitkan orang yang mabuk cinta, mabuk asmara, perasaan berani dan sayang itu lain daripada kebiasaan.

Sensasinya indah. Kadang-kadang tersenyum sendiri, tangan dan kaki juga seirama. Begitu juga sensasi mabuk tuak. Halaman fikiran lebih meriah dengan keraian yang lebih ritualis, lebih jujur. Semangat padi yang disemai menjadi tuak adalah kudus, ikhlas dari titik peluh aki dan inik kampung.

Dari tugau menjadi segunung rezeki. Jadi kenapa dipersiakan mabuk tuak yang cukup luhur sifatnya? Jangan bergaduh, jangan berhasad. Peluklah apai dan indai memohon rasa yang kita idamkan, di kala tuak datang mengusik.

Luahan fizikal rasa sayang bukan budaya iban yang agam. Perasaan malu dan kekok menunjuk rasa cinta kasih sesama keluarga adalah jarang, tetapi ada. Jadi, kau tunggu apalagi sang belia gagah. Peluk apaimu, ucap selamat Gawai dengan berani.

Mei 2020-Di kala pandemik yang gundah, aku terpasung seketika di Jinjang. Berkelana dari rumah Petara dari satu ke satu tempat. Dari surau Al Faizin, sampailah ke kuil Batu Caves.

Mencatat cerita anak Iban yang jauh dari tuak. Tuak yang telah jauh tersasar dari pengertian sebenar cucu cicit lang senggelang burung. Memperingati Tuai Kulleh yang telah lebih 30 tahun ke negara abadi. Bangkit yang ditinggalkan masih harum di ingatan.

Selamat ngintu ari Gawai, gayu guru gerai nyamai. Lantang senang nguan menua.


KULLEH GRASI ialah seorang penulis. Terjemahan kumpulan puisinya, Tell Me, Kenyalang telah diterbitkan pada tahun lalu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.