Bekas IGP: Lantikan politik, GLC bukan untuk kepentingan peribadi
Bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan berkata jawatan politik atau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi.
Sebaliknya beliau berkata tujuan utama pelantikan tersebut adalah demi kebaikan rakyat.
"Siapa yang menerima apa jua jawatan sama ada politik, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau perkhidmatan awam, objektif utamanya adalah untuk melayani dan memastikan ia adalah untuk manfaat dan kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi," katanya dalam hantaran di Twitter hari ini.
Beliau menjawab seorang netizen yang bertanya apakah pelantikan GLC dalam kalangan ahli politik boleh disamakan dengan kepentingan orang ramai.
Musa sebelumnya menulis "sesiapa yang ingin terus berkuasa harus meletakkan kepentingan rakyat di atas kepentingan peribadi."
Bekas ketua polis negara itu bagaimanapun tidak merujuk individu tertentu dalam catatan media sosialnya.
Namun, kenyataan itu dibuat selepas tersebar rakaman audio mirip Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan anggota parlimen Umno 'dipikat' dengan jawatan menteri atau GLC bagi bergabung dengan Bersatu.
Audio berkenaan dibocorkan oleh laman Facebook yang menyebelahi Dr Mahathir Mohamad dan dikatakan dirakam dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu.
Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang suaranya menyerupai perdana menteri didengar berkata:
"Kalau dia (ahli parlimen Umno) tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, 'why don't you come in now, why don't you join us now rather than you join later?' (Kenapa tak sertai kami sekarang, daripada sertai kemudian?)
Mesyuarat Bersatu berlangsung sebelum 'Langkah Sheraton' yang menyebabkan keluarnya Bersatu daripada PH yang menjadi kerajaan ketika itu serta mendorong kejatuhan kerajaan pimpinan Mahathir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai