'Setahun duduk di sini, dah 6 kali banjir kilat'
Hampir 100 pemilik dan penyewa rumah di Taman Wadi Iman, Kok Lanas, Kelantan, dihantui masalah banjir kilat yang terpaksa dihadapi mereka sejak mendiami perumahan itu, lebih setahun lalu.
Malah sepanjang tempoh setahun ini sebanyak enam kali kejadian banjir kilat berlaku yang didakwa berpunca daripada sistem perparitan yang tidak teratur.
Taman perumahan mampu milik yang dimajukan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu siap sepenuhnya dan dirasmikan pada 29 April 2018, namun masalah itu menjadi keresahan penduduk.
Sepanjang tempoh itu sehingga sekarang masalah banjir kilat yang dihadapi itu seperti tiada kesudahannya walaupun aduan sudah dikemukakan kepada pihak-pihak berkenaan.
Penduduk, Kamaruddin Mohamad, 45, berkata, sejak mendiami rumah di situ kira-kira setahun lalu sudah enam kali kejadian banjir kilat berlaku.
Menurutnya, setiap kali hujan lebat kawasan sekitar perumahan tersebut akan digenangi air yang bertakung selain melimpah ke dalam rumah.
Bersih rumah di Aidilfitri
"Saya menyewa di sini sejak setahun lalu, ini kejadian keenam berlaku. Hari ini hujan lebat selama kira-kira sejam, air naik dengan cepat hingga ke dalam rumah.
"Ketika orang lain masih sambut Aidilfitri, kami terpaksa bersihkan dan kemas rumah. Kali ini agak teruk juga walaupun tidak seteruk kejadian pada musim tengkujuh lepas. Habis perabot di rumah kami rosak," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Bagi Norasyikin Haron, 52, berkata, dia sekeluarga juga mendiami rumah yang dibeli daripada PMKB itu sejak setahun lalu.
Katanya, setiap kali hujan turun dengan lebat mereka akan berjaga-jaga untuk mengangkut barang-barang berharga ke tempat lebih selamat.
"Banjir kilat di sini selalunya berlaku dalam tempoh yang begitu pantas, hujan tak sampai satu jam pun air boleh naik atas rumah.
"Apabila hujan lebat, parit akan melimpah dan menyebabkan air bertakung di kawasan perumahan ini. Kita lihat air tak dapat mengalir.
"Pada kejadian kali ini, penduduk terpaksa bertindak dengan pecahkan penghadang parit berhampiran supaya limpahan air mengalir," jelasnya.
Bagi seorang lagi penduduk, Yusahiran Mat Jusoh, 31, berkata apa yang dikesalkan sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak pemaju atau pihak berkuasa tempatan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, sepatutnya pemaju dari awal lagi bertindak mengenal pasti punca-punca kejadian yang sentiasa berulang.
"Harapan kami agar masalah ini diatasi segera oleh pihak yang berkaitan. Kami penduduk di sini sudah penat untuk berdepan dengan situasi sebegini.
"Kami berharap kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada permasalahan ini agar ia tidak berlarutan," katanya.
Sehubungan itu, Malaysiakini sedang menghubungi pihak PMBK untuk mendapatkan maklum balas berhubung masalah tersebut.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai