Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kedah sedia pertimbang buka kembali konsesi balak - MB

Kerajaan negeri Kedah sedia mempertimbang membuka semula konsesi balak daripada membayar tuntutan saman hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini, kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Portal Berita Harian Online memetiknya sebagai berkata syarikat terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

"Tuntutan itu agak besar, jadi kalau boleh diganti tempat (kawasan pembalakan) yang tidak menjejaskan alam sekitar dan tidak mendatangkan kerosakan kepada orang ramai, kita akan ganti.

"Mereka sudah bayar premium, jadi tak adil untuk mereka. Saya tidak boleh lari daripada keputusan (pembatalan konsesi) kerajaan yang sudah ada ikatan undang-undang, namun perkara ini boleh diselesaikan," katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhammad Sanusi mengambilalih kepimpinan negeri pada 17 Mei lalu setelah 23 Adun menandatangani pernyataan berkanun untuk mengatakan bahawa mereka telah kehilangan kepercayaan ke atas Menteri Besar PH Mukhriz Mahathir.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat dan cadangan Jabatan Perhutanan terlebih dahulu supaya ekosistem alam terus dipelihara.

BH juga memetiknya sebagai berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha untuk menjaga kawasan tadahan air yang sudah digazetkan oleh kerajaan PH terdahulu.

"Kerajaan negeri dalam mesyuarat exco sebelum ini sudah menambah saiz kawasan yang digazet sebagai kawasan tadahan air, kita menyokong tindakan yang diambil kerajaan terdahulu.

"Selepas ini kita akan dapat kebenaran Jabatan Perhutanan supaya kita mematuhi peraturan, kawasan sensitif berhampiran kawasan tasik, empangan yang berpotensi untuk menghasilkan pencemaran mengganggu penduduk tidak akan diusik," katanya.

Adalah difahamkan terdapat 40 konsesi balak yang membuat tuntutan ganti rugi susulan arahan pemberhentian semua aktiviti pembalakan tahun lalu.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan negeri pimpinan PH membatalkan semua konsesi balak di Ulu Muda bertujuan memulihara khazanah alam, walaupun terpaksa kehilangan hasil puluhan juta melalui aktiviti pembalakan.