Kula beritahu Najib: Pusat rehabilitasi bukan di Ipoh Barat
Ekoran disindir mengamalkan pilih kasih terhadap kawasan parlimen yang diwakilinya, MP Ipoh Barat, M Kulasegaran menunjukkan kesalahan lokasi geografi dalam kritikan yang dilontarkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Semalam, Najib mempersoalkan mengapa projek pusat rehabilitasi (pemulihan pekerja selepas kemalangan) bernilai RM500 juta telah dirancang di kawasan parlimen Kulasegaran di Ipoh Barat semasa beliau memegang jawatan menteri sumber manusia ketika pentadbiran PH.
Kulasegaran memaklumkan projek pusat rehabilitasi itu bukan di kawasan parlimennya.
"Tempat yang dicadangkan bukanlah di kawasan parlimen saya di Ipoh Barat tetapi di Meru, yang berada di bawah kawasan parlimen Tambun," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang juga wakil rakyat Bersatu ialah anggota parlimen Tambun.
Ulasan Najib itu sebagai maklum balasnya terhadap kenyataan bekas menteri industri utama Teresa Kok, yang mempersoalkan projek Pusat Teknologi Getah RM100 juta oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Jerantut.
MP Jerantut, yang juga wakil rakyat Umno Ahmad Nazlan Idris merupakan pengerusi LGM yang bari dilantik kira-kira sebulan lalu.
Kulasegaran mempertahankan cadangan pembinaan pusat pemulihan pekerja itu hari ini dan membandingkannya dengan projek pusat teknologi getah LGM.
Katanya, pusat rehabilitasi itu merupakan cadangan "yang telah dikaji dengan baik" bertujuan merawat penyumbang Perkeso yang mengalami kemalangan atau penyakit ketika bekerja.
Pusat rehabilitasi yang bakal memiliki teknologi "canggih" itu, katanya sepatutnya akan melengkapi kemudahan yang ada di Melaka.
"Pusat pemulihan itu dicadangkan untuk kebaikan penyumbang Sosco dalam jangka panjang seperti pusat di Melaka yang telah terbukti sebagai kemudahan penting kepada pekerja dari Selatan Semenanjung.
"Penyumbang perkeso di utara akan pergi ke pusat di Ipoh, manakala mereka dari selatan dapat memilih kelengkapan yang ada di Melaka," katanya.
Bagaimana projek baru lulus?
Semalam, Najib turut mempertikaikan mengapa program Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia dilancarkan di Ipoh Barat.
Mengulas hal itu, Kulasegaran berkata program itu dirangka untuk diperluas ke seluruh negara selepas dilancarkan di kawasan parlimennya.
"Idea ini bukan hanya untuk Ipoh tetapi untuk semua orang di seluruh negara supaya rakyat dan institusi yang berkaitan dengan kerajaan dapat bekerja sama untuk menyelesaikan masalah," jelasnya.
Tidak seperti projek LGM, beliau berkata cadangan pusat pemulihan pekerja ditimpa kemalangan dan penyakit di tempat kerja serta program Kaunter Khidmat Rakyat bertujuan mendapat manfaat "pulangan sosial yang lebih besar".
"Terdapat perbezaan meluluskan sebuah projek hanya sebulan selepas dilantik menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan yang mana sumbernya lebih baik digunakan untuk melindungi jaminan pekerjaan dan perniagaan serta projek masyarakat," kata Kulasegaran.
Sebelum ini, bekas menteri industri utama menyoal bagaimana bagaimana Nazlan berjaya mendapat kelulusan untuk projek baru itu sejurus selepas pelantikannya menjadi pengerusi LGM.
Di bawah pentadbiran PH dahulu, kata Kok, projek dengan skala perbelanjaan sebegitu akan memakan masa lebih dari setahun untuk mendapat semua kelulusan yang diperlukan.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai