Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan teliti aduan sukar dapat bekalan makanan di Pudu

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan meneliti laporan berkenaan kesukaran penduduk sekitar Pudu untuk mendapatkan bekalan makanan ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) separa ketat di sana.

Ismail tampak terkejut apabila ditanya berkenaan dakwaan penduduk di sana berkenaan kesukaran mendapatkan makanan.

"Saya tak percaya. Okey, sata tak tahu sama ada sekitar Pudu (dikenakan) PKPD. Sekitar Pudu tidak pernah dikenakan PKPD.

"Sata tidak tahu sebab apa (di sebalik aduan tersebut)," katanya ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

"Semalam hari raya pertama...Mungkin sebahagian peniaga tidak buka?" katanya, sambil menambah beliau akan mendapatkan maklumat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkenaan isu tersebut.

"Jadi saya akan periksa, dan perinciannya saya akan maklumkan," katanya lagi.

Hari ini The Malaysian Insight melaporkan bahawa penduduk di Pudu mendapati pergerakan mereka dihadkan melebihi apa yang diberitahu sebelum ini, susulan penguatkuasaan PKP separa ketat itu.

Orang ramai diberitahu yang mereka masih boleh keluar masuk dari kawasan itu jika mempunyai sebab yang munasabah.

Tetapi laporan itu menyatakan mereka yang tinggal di unit rumah kedai di Jalan Pudu dan Jalan Landak mendapati kawasan mereka dipagar kawat duri dan mereka dilarang meninggalkan kawasan itu untuk membeli makanan.

Seorang penduduk tempatan turut mengadu dia tidak dibenarkan pergi ke bank berdekatan untuk mengeluarkan wang.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata penduduk dibenarkan untuk bergerak dengan alasan yang sah.

Seorang pekerja kontrak asing memberitahu dia sukar untuk mendapatkan makanan seperti biasa.

"Kami tidak bernasib baik untuk selalu mendapatkan makanan, walaupun beberapa orang dan kumpulan datang untuk menyampaikan. Penduduk tempatan diberi keutamaan dan orang asing biasanya yang terakhir dapat," kata pekerja Bangladesh berusia 35 tahun itu.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.