Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Carilah tongkat, bukan pegang kayu golf, mop, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad hari ini menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai satu bahan lawak, sebagaimana yang tular di media sosial.

Beliau mengulas gelagat segelintir individu yang menggunakan pelbagai barang termasuk kayu golf, tukul ‘Thor’ watak dalam sebuah filem antarabangsa, kayu mop serta pedang ‘gergasi’ mainan ketika membaca khutbah di kediaman masing-masing selepas solat sunat Aidilfitri semalam.

“Mengenai gambar yang tular itu, tiada masalah ke atas solat sunat Aidilfitri dan khutbah yang dibacakan.

“Khutbah yang disampaikan adalah baik namun kalau boleh, apa yang hendak dipegang sebagai tongkat atau lain-lain, biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak. Justeru, carilah tongkat walaupun hukumnya sunat memegang sesuatu ketika berkhutbah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut beliau, solat ​​hari raya serta bacaan khutbah yang dilakukan di rumah adalah jawapan untuk penyelesaian bagi mereka yang tidak mampu solat di masjid atau surau sebagaimana ia mula menjadi kebiasaan baharu dalam beribadah dan kehidupan, dalam usaha mengekang wabak Covid-19.

Berdasarkan rujukan yang dilakukan di laman web rasmi pejabat mufti Wilayah Persekutuan, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakam bin Hazan menyatakan selain daripada beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi pembacaan khutbah, para ulama juga menetapkan beberapa perkara sunat lain yang boleh diikuti, antaranya memegang tongkat, pedang, atau busur anak panah.

Sementara itu, bagi pembacaan khutbah pula, disunatkan bagi mereka yang melakukan solat hari raya secara berjemaah di rumah, untuk imam mereka membaca khutbah raya selepas solat hari raya selesai dilakukan manakala ia tidak dituntut bagi yang melaksanakannya secara bersendirian kerana tidak ada faedah padanya.

Sementara itu, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil menjelaskan pemakaian tongkat hanya sunat dan tidak menjejaskan solat.

- Bernama