Jangan agungkan mat rempit, kata polis
Polis Johor meminta masyarakat tidak mengagung-agungkan mat rempit dan mempertikaikan tindakan polis menahan golongan itu yang bertindak melanggar undang-undang terutama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ia susulan satu video telah tular di media sosial sejak malam tadi yang menunjukkan beberapa mat rempit ditahan sedang menyorong motosikal masing-masing sambil diiringi takbir raya yang dimainkan pasukan polis peronda. Tindakan itu kemudian menimbulkan pelbagai kritikan daripada warganet.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan segelintir masyarakat mempertikaikan perkara itu dengan menganggapnya sebagai menghina agama Islam tidak sepatutnya berlaku.
“Ada sesetengah pihak mengatakan tindakan anggota tersebut menghina Islam. Saya rasa itu satu andaian yang tidak tepat. Yang penting tuan-tuan, aksi mereka itu ialah waktu malam raya kerana kita berjaya menangkap 47 lelaki tempatan berumur antara 18 hingga 30 tahun dan merampas 26 motosikal.
“Bagi saya, masyarakat perlu faham. Sepatutnya masyarakat mengkritik aksi-aksi mat rempit ini pada malam raya. Sepatutnya malam raya, mereka duduk rumah dengar takbir raya bukan merempit,” katanya dalam sidang media, di Johor Bahru, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas video berdurasi 1 minit 26 saat itu yang didakwa berlaku selepas operasi membanteras mat rempit di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada malam raya, Sabtu lepas.Katanya, orang ramai tidak seharusnya memberikan input positif seolah-olah menyokong tindakan golongan berkenaan dengan mempersalahkan pihak polis.
“Keadaan ini sudah terbalik namun pihak polis akan terus menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta masyarakat agar menyalurkan maklumat kepada polis mengenai aktiviti ziarah Aidilfitri dalam jumlah yang besar dan melanggar PKPB.
Ini bagi membolehkan pihak polis melaksanakan pemeriksaan segera ke atas premis terlibat.
“Jika ada sebarang informasi, salurkan kepada polis dan kita akan membuat pemeriksaan memandangkan polis mempunyai pasukan khas yang membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah pada musim Aidilfitri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan gambar dan video yang tular di media sosial sejak semalam yang antara lain memaparkan sekumpulan pemuda menaiki motosikal dalam kumpulan besar yang didakwa melakukan baraan atau marhaban dari rumah ke rumah di Batu Pahat.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai