Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mesej 1 Syawal Lim ajak pemimpin PH lawan kemungkaran

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sempat menghubungi para pemimpin pembangkang di hari raya pertama semalam, bagi menyatakan ucapan selamat hari raya di samping menyuarakan komitmen untuk terus "melawan Covid-19 dan kemungkaran".

Lim membuat panggilan video kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Warisan Shafie Apdal dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, yang dimuat naik di Facebook semalam.

"Hari ini 1 Syawal, saya kena panggil kawan-kawan untuk ucap hari raya," katanya di awal video tersebut.

Dalam perbualannya dengan Anwar, Lim berkata: "Selamat hari raya. Kita sama-sama lawan Covid-19, lawan kemungkaran."

"Terima kasih, Ini semangat Aidilfitri dan (saya) juga hormat dengan persahabatan dan kesetiaan saudara," balas Anwar, yang kini menjadi pengerusi PH.

Ucapan sama disampaikan kepada Mahathir, sambil menyuarakan harapan agar bekas perdana menteri itu dan keluarga sentiasa dalam keadaan sihat.

Mahathir pula menceritakan bagaimana beliau hanya menerima kunjungan keluarganya, yang malah datang pada waktu berbeza, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk hari raya kali ini.

"Saya berada di rumah sepanjang hari...Baik untuk anda telefon dan ucap selamat hari raya, saya harap dapat melihat masa depan yang lebih baik selepas raya ini," kata bekas perdana menteri.

Di peringkat awal pertukaran kerajaan, kedudukan Mahathir dalam pembangkang belum jelas susulan keluarnya Bersatu daripada PH.

Bagaimanapun beliau dan empat lagi anggota Parlimen Bersatu duduk di kerusi bebas ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Menurut pemimpin parti itu Marzuki Yahya, ini kerana walaupun mereka menyokong PH tetapi mereka tidak lagi berada dalam gabungan itu.

Pagi tadi saya call member-member untuk menyampaikan salam Aidilfitri. Kepada semua umat Islam, Selamat Hari Raya...

Posted by Lim Guan Eng on Ahad, 24 Mei 2020

 

Dalam panggilan video kepada Mohamad Sabu pula, Lim mengenang kembali kalimah amar makruf nahi mungkar yang menurutnya diketahuinya menerusi bekas timbalan presiden PAS itu.

"Oi Mat, saya nak ucap kepada saudara selamat hari raya. Anda (masih) ingat selalu ajar saya amar maaruf nahi mungkar."

"Kita teruskan sampai bila-bila perjuangan menegakkan kebaikan dan menentang kemungkaran," balas Mohamad.

Pada 17 Mei lalu, PH dalam satu kenyataan bersama antara lain menegaskan akan meningkatkan usaha "mengembalikan mandat rakyat dengan keutamaan mengambil alih semula kerajaan."

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat pimpinan utama PH yang dipengerusikan Anwar, yang turut disertai Dr Mahathir dan Shafie.

Kira-kira seminggu sebelum itu, speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul undi tidak percaya yang dikemukakan Mahathir terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun sama ada ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat, atau bila ia akan berlaku, masih belum diketahui.