Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mangsa kemalangan motosikal di Kluang diuji positif Covid-19

Seorang mangsa kemalangan motosikal di Kluang, Johor diuji positif Covid-19. Ia kes baru di mukim itu sejak kali terakhir dilaporkan pada 2 April yang lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan, dengan kes baru itu, maka mukim Kluang bertukar menjadi zon kuning.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JPNJ) semalam (23 Mei) melaporkan satu kes baru di Johor. Seorang lelaki berumur 86 tahun telah dimasukkan ke hospital akibat kemalangan motosikal.

"Memandangkan beliau mempunyai gejala demam dan batuk, ujian saringan rutin Covid-19 dijalankan dan disahkan positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lelaki itu terlibat dalam kemalangan ja;an raya pada 21 Mei lalu. Dia didapati batuk-batuk sejak 19 Mei dan demam sehari sebelum kemalangan tersebut.

Lelaki itu tidak memiliki rekod kontak rapat dengan pesakit Covid-19 yang diketahui dan cuma keluar rumah untuk membeli barangan keperluan.

Dia kini dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Untuk rekod, sehingga semalam Johor mempunyai 670 kes keseluruhan, dengan 74 kes dilaporkan masih lagi aktif.

Sementara itu, Vidyananthan yang juga Adun Kahang berkata seramai 42 kontak rapat dengan mangsa kemalangan itu telah dikenal pasti.

"Sebanyak 42 kontak rapat telah dikenal pasti telah diberikan perintah kuarantin selama 14 hari.

"Kesemua sampel ujian swab, daripada kontak terbabit telah diambil dan menunggu keputusan makmal," katanya.

Untuk rekod, pada 26 Mac dua petempatan di Kluang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ekoran terdapat kes positif Covid-19 yang tinggi.

Kawasan itu ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.