Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bayi Rusia lahir di rumah terbengkalai di KL selamat pulang

Kisah bayi bernama Ivan Pervin yang lahir di sebuah rumah terbengkalai di Kuala Lumpur selepas ibu bapanya terkandas di sini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) akhirnya menemui jalan bahagia.

Ivan dan ibu bapanya, pasangan Rusia, Yevgeny dan Natalia Pervin, ialah antara 200 warga Rusia yang diterbangkan kembali dengan jet sewa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur malam tadi.

Bapanya Yevgeny menghubungi Malaysiakini melalui Whatsapp dari Rusia berkata keluarga itu telah selamat tiba.

"Selepas Moscow, kami mempunyai penerbangan dua jam lagi ke rumah kami di Arkhangelsk dan kemudian 14 hari kuarantin di sana," jelas Yevgeny, berkata dia tidak sabar untuk bertemu anak lelaki pertamanya Vladimir.

Rusia antara negara yang mencatatkan 326,448 kes Covid-19 iaitu yang ketiga tertinggi di dunia, dengan 3,249 kes kematian.

Pasangan itu tidak pernah menyangka bahawa impian mereka mengembara ke Asia Tenggara akan menyebabkan mereka terkandas di Kuala Lumpur dan anak kedua mereka Ivan dilahirkan di sebuah rumah terbengkalai di tengah-tengah kota.

Mereka memulakan perjalanan pada 4 Oktober 2019 dan telah merancang untuk pulang ke rumah mereka di Arkhangelsk pada 22 Mac setelah melawat Thailand, Laos, Vietnam, China dan Malaysia.

Bagaimanapun, mereka terperangkap ketika PKP dilaksanakan pada 18 Mac dan apabila mereka kehabisan dana akhirnya pasangan itu berpindah ke sebuah rumah terbengkalai di Jalan Mesra KL, tempat Ivan dilahirkan pada 13 April.

Yevgeny dilaporkan mempunyai hubungan tegang dengan Kedutaan Rusia tetapi berkata dia akan selamanya berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan makanan, minuman dan memasang kabel sehingga mereka mempunyai bekalan elektrik.

"Orang-orang begitu baik kepada kami. Pada mulanya kami masuk ke sebuah rumah secara haram, tetapi kami bertemu dengan rakan pemiliknya dan mereka membenarkan kami tinggal sebentar.

"Polis Malaysia bahkan memberi kami beberapa lampin dan saya juga diberi pekerjaan sambilan memuat sayur untuk penghantaran. Ini membantu kami bertahan," jelasnya.

Katanya, sebilangan kecil warga Rusia mula tinggal di rumah terbengkalai itu dan ada yang mendapat tempat dalam penerbangan pulang semalam.

Malaysiakini masih menunggu penjelasan rasmi dari Kedutaan Rusia mengenai butiran terperinci penerbangan pulang tersebut.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.