Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kluster baru depot imigresen: K'jaan abai amaran awal - Tenaganita

Selepas depot imigresen dikesan sebagai kluster jangkitan Covid-19, NGO Tenaganita memaklumkan hari ini bahawa kumpulan hak asai manusia itu telah berulang kali menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan merebaknya wabak di kalangan penghuni pusat tahanan itu.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das dalam satu kenyataan berkata ini kerana kawasan tertutup dan kitaran berterusan orang masuk dan keluar dari pusat tahanan berkenaan akan menjadi pusat penyebaran virus Covid-19 yang sempurna.

Katanya, memburukkan lagi keadaan, pusat tahanan di negara ini memang telah didokumenkan sebagai tidak berupaya memberikan khidmat penjagaan kesihatan yang mencukupi kepada penghuninya.

"Sistem penjagaan kesihatan pusat tahanan ini tidak dilengkapi untuk menghadapi atau mengendalikan wabak koronavirus," katanya mengulas dapatan terbaru bahawa kira-kira 60 pendatang positif Covid-19 ketika berada dalam tahanan imigresen.

Tenaganita baru-baru ini antara kumpulan yang mengemukakan bantahan terhadap tindakan imigresen menahan pendatang tanpa izin ketika berlangsungnya sekatan PKP akibat Covid-19 yang dikenakan sejak 18 Mac.

Menjelaskan keadaan pusat tahanan yang tidak begitu baik, Das mengulangi gesaan Tenaganita supaya pendatang tanpa izin dihantar pulang ke negara asal dengan selamat dan segera membebaskan pelarian dan pemohon suaka.

"Kami percaya tindakan ini akan mengurangkan risiko (jangkitan) dengan pantas tetapi amaran sebegitu tidak ditanggapi dengan serius dan hari ini 60 pesakit positif ditahan di satu pusat tahanan di Bukit Jalil," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata pesakit dari kluster Bukit Jalil telah ditempatkan di depot tahanan itu sejak permulaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Awal hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Kementerian Kesihatan sedang melakukan ujian swab terhadap hampir 3,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di depoh tahanan imigresen Bukit Jalil dan Semenyih berikutan kes Covid-19

Sebelum ini, Ismail berkata pengkritik penangkapan pendatang tanpa izin di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) perlu "berterima kasih kepada kerajaan" kerana ujian swab dibuat ke atas semua mereka bagi membendung penularan Covid-19.

Selain, kluster Bukit Jalil, KKM juga menjalankan sarigan terhadap tahanan di Depot Tahanan Semenyih di Selangor, selepas dua kes dikesan dari situ.

Malaysiakini difahamkan dua tahanan itu hanya didapati positif selepas pulang ke negara asal Myanmar dan dua kes ini tidak termasuk di dalam senarai kes tempatan.

Menurut The Myanmar Times, negara itu telah merekodkan 11 kes import dari Malaysia, semuanya pekerja asing yang dihantar pulang baru-baru ini.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.