Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selamat hari raya Hanipa Maidin

ULASAN | Hanipa Maidin ada memberi komentar kepada pandangan penganalisis politik berkaitan PH patut tumpu PRU15 untuk kembali berkuasa.

Saya bukanlah penganalisis politik yang dirujuk oleh Hanipa. Cuma, secara kebetulan sebelum pandangan penganalisis itu diterbitkan Malaysiakini, saya ada menyatakan pandangan yang hampir sama di sebuah portal. Kebetulan.

Hanipa berhujah bahawa PN tidak mendapat mandat rakyat, sebaliknya PH yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah, bukan PN, PN menipu. Ya, semua ini betul dan saya setuju dengan semua hujah ini.

Bagi mereka yang ingin menguji majoriti kerajaan PN di dewan rakyat atau nak buktikan Muhyiddin Yassin ada majoriti atau tidak, kami rakan-rakan tiada halangan kerana semua ini adalah praktis amalan demokrasi yang sah.

Cuma ada beberapa perkara yang perlu dijawab dengan jelas dan tegas sebelum semua hasrat itu dilaksanakan. Adakah PH sendiri sudah menyelesaikan siapa calon PM jika usaha tersebut berjaya?

Hanipa Maidin

PH mahu Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim?

Jika kita semak kembali rekod sebelum ini. Cadangan Mahathir mahukan kerajaan campuran, PH telah tolak. Ini menjelaskan pendirian politik PH yang berbeza dengan Mahathir. Jadi nampak macam sukar bagi Mahathir untuk dicalonkan sebagai PM oleh PH jika berjaya dengan undi tak percaya yang diusulkan olehnya.

Tetapi jika PH mahu Anwar sebagai calon PM, adakah Anwar sudah mendapat cukup majoriti untuk ditabalkan sebagai PM? Atau kita baru nak berkira-kira dengan SD yang ‘akan’ diterima?

Kita masih ingat lagi peluang yang ada ketika Yang di-Pertuan Agong berikan pada bulan Februari dulu. Itu jadi mimpi ngeri dan pelajaran kepada kita semua. Ketidaktentuan antara Mahathir atau Anwar inilah jadi kemuncak kegagalan PH mengurus kuasa yang ada di tangan sendiri.

Berapa banyak PRK PH kalah

Dalam keghairahan pimpinan nak rampas kembali kuasa kerajaan. Saya ingin mencadangkan agar PH patut mengambil peluang dan masa beberapa tahun sehingga PRU 15 tiba agar kita bermuhasabah dan menyusun kembali sisa kekuatan yang ada.

Kita patut belajar dari sejarah kita, kita kata kita ditipu oleh si penipu, kita kata kita dikhianati oleh si pengkhianat dan kita mengadu semua ini kepada rakyat bahawa mandat pengundi telah dicuri oleh PN.

Perlu diingatkan kembali, sebelum hilang kuasa pun, sokongan rakyat kepada PH ketika itu sedang merosot teruk, berapa banyak pilihan raya kecil PH kalah? Jadi, jangan ingat rakyat akan semudah itu nak bersimpati kepada PH dengan hujah-hujah retorika ini.

Gambar hiasan

Sampai bila kita hanya mampu menuding jari kepada pengkhianat sedangkan kita sendiri malas bermuhasabah. Kita baru dipinjamkan kuasa selama 22 menjadi kerajaan, janganlah terlalu ego.

Tak salah kita merendah diri dan menginsafi akan kelemahan kita dan kita sama-sama berusaha memperbaikinya. Dan jangan pula menuduh saya atau rakan-rakan lain tidak setia kepada parti atau tidak memahami perjuangan hanya kerana kita tak mampu mengurus perbezaan pendapat dan pendekatan antara kita.

Anwar pernah berkata, “Saya dibuang oleh elit politik, maka itu saya kembali kepada rakyat.” Inilah masanya kita kembali kepada rakyat dan tumpukan usaha memperkemas kembali naratif politik PH.

Selamat hari raya kepada YB Hanipa Maidin, maaf zahir dan batin.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis dan anggota jawatankuasa DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.